'PRU15 tak sesuai diadakan pada November' - kata MetMalaysia, tetapi Zahid Hamidi bertegas mahu PRU15 diadakan segera

October 06, 2022

The Reporter



Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada November ini. 


"Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15. Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL, akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir," kata Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip. 


Menurut beliau lagi, MTL yang dijangka bermula pada November itu akan berakhir pada Mac 2023. Dalam tempoh itu, akan berlaku empat hingga enam episod hujan lebat berterungan yang boleh menyebabkan banjir semasa fasa aktif MTL dari November 2022 hingga Januari 2023. 


Namun bagi Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, pihaknya telah berjumpa dan melakukan penyelidikan dengan MetMalaysia serta PRU akan diadakan sebelum banjir. 


Gesaan mengadakan PRU15 pada tahun ini adalah kerana UMNO/BN mahu menyediakan kerajaan yang stabil dan kukuh demi kepentingan rakyat. 


Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyifatkan tindakan beberapa pemimpin politik yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Melaka sebagai penakut kerana tidak berani berdepan dengan Barisan Nasional (BN) di PRU15 kelak. 


Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengumumkkan tiga kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan DUN kerana enggan merisiko nyawa rakyat semata-mata untuk PRU15. 


Begitu juga dengan PAS, di mana Naib Presidennya, Nik Mohd Amar, menyatakan pendirian yang sama bahawa Kelantan, Kedah dan Terengganu juga tidak akan membubarkan DUN. Sebaliknya memberikan fokus untuk menstabilkan ekonomi negeri masing-masing yang baru pulih dari pandemik Covid. 


Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini



October 06, 2022 at 11:16AM

Previous
Next Post »
0 Komentar