The Reporter
32 termasuk 22 kanak-kanak dan seorang guru hamil terbunuh dalam pembunuhan beramai-ramai di Thailand, Khamis, selepas seorang bekas pegawai polis yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah, bertindak menembak dan menikam secara membabi buta di sebuah taska.
Suspek kemudian melarikan diri dan melepaskan beberapa tembakan rambang ke arah orang awam sebelum pulang ke rumahnya lalu membunuh isteri dan anak mereka.
Suspek dikatakan membawa sepucuk pistol 9mm, tetapi hanya menggunakan sebilah pisau untuk menikam anak-anak asuhan di taska tersebut.
Jurucakap polis, Paisal Luesomboon berkata, saksi ternampak suspek membawa senjata api dan sebilah pisau.
"Dia mula melepaskan tembakan, menikam kanak-kanak di Taska Utai Sawan," katanya.
Kira-kira 12 mangsa mengalami luka, 8 mangsa cedera parah dan telah dihantar ke pusat rawatan untuk mendapatkan rawatan. Manakala 19 lagi kanak-kanak lelaki dan 3 kanak-kanak perempuan meninggal dunia dalam kejadian itu.
Suspek yang dikenali sebagai Panya Khamrab, sebelum ini berkhidmat di Balai Polis Na Wang di wilayah Nong Bua Bhampu. Bagaimanapun suspek ditahan tahun lalu selepas dipercayai menyalahgunakan dadah jenis methamphetamines.
Khamrab bertindak membunuh dirinya selepas melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai itu.
Terdahulu, suspek hadir di mahkamah atas perbicaraan kesnya berhubung pertuduhan penyalahgunaan dadah yang menyebabkan dia dipecat.
Khamrab dikatakan telah menceroboh masuk ke taska di waktu tengah hari yang dihadiri oleh 30 kanak-kanak ketika itu. Salah seorang guru wanita hamil lapan bulan ditembak di bahagian kepala.
Susulan kejadian tidak dijangka itu, polis meminta orang ramai tidak berkongsi sebarang gambar atau video kejadian di media sosial.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha juga mengarahkan Ketua Komander Polis turun ke lokasi untuk membantu siasatan.
Sumber: NBC News
October 06, 2022 at 01:32PM
0 Komentar