The Reporter
20 Mac lalu, veteran DAP, Lim Kit Siang mengumumkan dirinya tidak akan bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) 15, sekali gus bersara dari arena politik, setelah menceburi bidang itu selama 56 tahun.
Pengumuman Kit Siang itu menarik banyak perhatian ramai termasuk rakan politik, Rais Yatim menggesa kerajaan memberi perhargaan kepada veteran DAP itu, yang turut disokong oleh Zaid Ibrahim.
Menurut Zaid, Kit Siang wajar dianugerahkan gelaran Tan Sri sama seperti anugerah yang diterima oleh pengasas Gerakan, Tan Chee Koon.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, juga menyokong cadangn itu kerana Kit Siang turut menyumbang kepada negara walaupun berada di kerusi pembangkang.
Bagaimanapun, pemimpin UMNO menolak cadangan itu kerana tiada satu pun usaha Kit Siang yang boleh dibanggakan. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Razlan Rafii juga mendakwa veteran DAP itu sebagai pemimpin rasis dan selalu mencabar Perlembagaan negara.
"Tidak ada apa yang perlu diberi penghormatan kepada Lim Kit Siang, seorang yang penuh sejarah rasis dan merosakkan perlembagaan negara.
"Negara menyaksikan perpecahan,pergeseran antara kaum hingga mencetuskan suasana panas hanya disebabkan dia.
"Perjuangan rasis yang dibawa beliau banyak merosakkan hubungan antara kam, hak orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan pun cuba dicabar. Bagi saya, keputusannya untuk bersara amat dialu-alukan," katanya memetik laporan dari Malaysiakini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Mustapha Yaakub, pula menyifatkan cadangan itu sebagai kurang siuman dan tidak masuk akal. Ini kerana baginya, Lim Kit Siang adalah orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa 13 Mei.
"Apakah orang yang bertanggungjawab dengan kekacauan 13 Mei wajar diberi penghormatan dan diingati sebagai ikonik? Rais sendiri tahu puncanya 13 Mei. Siapa pencetusnya, janganlah kerana Rais mengenali Lim selama 46 tahun dan DAP pernah berada dalam kerajaan, maka Rais lupa kesengsaraan negara di bawah Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.
"Amat malang sekali cadangan ini datang daripada seorang Melayu seperti Rais yang lupa sejarah dan buta mata hati untuk menilai batu atau intan," katanya.
Sumber: Malaysiakini
March 24, 2022 at 12:43PM
0 Komentar