'Ia tidak manis' - KPN tidak sarankan pegawai & anggotanya bermain Tik Tok

December 10, 2020

The Reporter


Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran untuk tidak bermain aplikasi media sosial, Tik Tok ketika sedang bertugas kerana ia tidak sesuai dan mencemarkan imej pasukan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.


Beliau berkata perbuatan seperti menari di dalam aplikasi berkenaan tidak 'manis' dilakukan oleh seseorang pegawai mahupun anggota dalam sesebuah pasukan beruniform kerana perbuatan itu seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.


"Ia tidak manis dan tidak cocok apabila anggota atau pegawai dalam unit beruniform melakukan sesuatu perbuatan 'menari' dan ini sepatutnya dijadikan satu kesalahan tatatertib seolah-olah mengaibkan uniform PDRM.


"Uniform berwarna biru ini merupakan uniform keramat maka ia tidak manis kalau kita pakai uniform ini dan melakukan sesuatu perbuatan yang tidak cocok dengan budaya kerja," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota PDRM di Bukit Aman.


Beliau berkata perbincangan mengenai isu Tik Tok dalam kalangan pegawai dan anggota polis akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya.


"Saya akan berbincang dengan Datuk Zamri bagi mengkaji perkara ini tentang baik dan buruknya, mungkin saya akan keluarkan satu arahan berhubung perkara ini," katanya.


Pada Sabtu lalu, seorang anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berdepan tindakan tatatertib selepas memuat naik video seperti aksi tarian menerusi aplikasi TikTok sewaktu memakai uniform operasi polis.


Berikutan itu, Ketua Polis Kelantan Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata perbuatan itu yang tular di media sosial menjejaskan imej jabatan dan kod etika PDRM.


Terdahulu, seramai lapan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur menerima surat penghargaan daripada Abdul Hamid kerana menolak wang sogokan semasa Op Dadu Firestorm yang dijalankan pada 15 Oktober hingga 15 November lalu.


Sumber: Bernama



December 11, 2020 at 01:08AM

Previous
Next Post »
0 Komentar