'Rupanya ubat juga boleh jadi racun membunuh' - Anak hidap penyakit Steven Johnson selepas makan pil antibiotik

August 07, 2018

The Reporter


Kemunculan bintik-bintik merah di mulut dan tapak tangan, membuatkan si ibu menyangka anak lelakinya itu dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Tanpa mengesyaki apa-apa yang serius, kanak-kanak itu terus diberi makan ubat yang sama sehinggalah keadaannya semakin merosot. 

Bimbang melihat kesihatan kanak-kanak itu, dia dibawa ke Hospital Likas untuk menjalani pemeriksaan dan doktor pakar mengesahkannya dijangkiti penyakit Steven Johnson yang menjejaskan pengelihatan, bibir merekah dan kulit di seluruh badan juga terjejas.



"Genap tiga minggu terlantar di hospital gara-gara antibiotik. Alhamdulillah discharge sudah handsome boy saya. Rupanya ubat bukan sahaja penawar tetapi racun yang boleh membunuh. 

"Walaupun discharge, tapi masih lagi sambung rawatan mata dan mulut di rumah. Matanya masih rabun dan mulutnya masih sakit," tulis Nur Fazella di Facebooknya petang semalam. 



Menceritakan semula bagaimana perkara itu boleh berlaku, Nur Fazella menjelaskan anaknya, Khairi, mula menunjukkan perubahan selepas makan pil antibiotik yang pertama dan diteruskan sehingga pil yang ketiga. 

"Sekadar peringatan untuk kita semua, berhati-hati bila makan atau beri anak-anak makan ubat. Jangan jadi seperti saya. 

"Pada mulanya Khairi mengalami demam dan batuk-batuk. Doktor berikan antibiotik, ubat batuk dan paracetamol. Selepas makan satu biji antibiotik, keluar bintik-bintik merah di mulut dan tapak tangan. 


"Dalam fikiran saya pada awal itu menyangka Khairi kena jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Teruskan makan. 

"Selepas pil yang ketiga, dia mengadu sesak nafas dan kami bawa dia pergi ke Unit Kecemasan Hospital Likas," tulisnya. 

Setelah diperiksa oleh doktor pakar, rupa-rupanya Khairi menghidap penyakit Steven Johnson. Gambar-gambar yang dikongsikan Nur Fazella juga membuatkan netizen berasa sayu dan bersimpati melihat keadaan dan penderitaan Khairi. 

"Pada mulanya dia disangka mengalami demam campak. Doktor pakar siasat punya siasat, rupa-rupanya Steven Johnson. Inilah nama penyakit yang buat pertama kalinya saya dengar. 

"Maksudnya, jika selepas anda menelan sebiji ubat dan nampak tanda-tanda merah di badan, segeralah pergi mendapatkan rawatan.






"Terima kasih kepada semua sahabat dan keluarga yang telah mendoakan Khairi. Terima kasih juga kepada jururawat dan doktor di Hospital Likas yang memberikan layanan first class. 

"Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dan mudah-mudahan kalian sentiasa dalam rahmat Allah," tulisnya.


August 08, 2018 at 02:23AM

Previous
Next Post »
0 Komentar