The Reporter
Meriam Zakaria, 37, tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Nur Fathia Izara Mohd Zaki yang berusia empat bulan seperti yang dilakukannya sebelum ini kepada tiga anaknya yang lain berusia 11, sembilan dan empat tahun.
Meriam juga hilang upaya untuk menyaksikan anaknya membesar dan kegembiraan mereka sekeluarga menyambut kehadiran orang baru turut bertukar pilu secara tiba-tiba.
Suaminya, Mohd Zaki Ismail, 37, berkata, isterinya hanya sempat menjaga anak bongsu mereka dalam tempoh yang sangat singkat berikutan mengalami masalah kesihatan yang teruk.
"Selepas melahirkan anak bongsu, dia menjadi semakin lemah, kerap muntah dan kedua-dua belah tangannya menjadi kaku dan tidak dapat digerakkan. Sebelum ini dia pernah berkeadaan seperti itu termasuk ketika dia mengandung. Tetapi tidak berpanjangan dan dia akan sihat selepas beberapa hari.
"Tetapi keadaannya menjadi serius selepas melahirkan anak bongsu dan saya membawanya ke hospital. Namun Meriam tidak sedarkan diri selepas menjalani rawatan dan lumpuh. Malah pemeriksaan doktor mendapati, oksigen tidak sampai ke bahagian kepalanya yang turut menyebabkan dia tidak dapat bercakap selain dia seperti hilang ingatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung FELCRA Bukit Tandak, Rantau Panjang.
Pilu hati Mohd Zaki apabila melihat anak membongsunya membesar tanpa belaian ibunya. Malah anaknya itu hanya sempat menyusu badan selama 18 hari sahaja.
Mohd Zaki dan keluarganya terpaksa menumpang di rumah kakaknya bagi memudahkan dia menguruskan Meriam dengan dibantu ahli keluarga.
"Saya perlu menguruskan isteri sepenuhnya termasuk pakaian serta memberinya susu khas menggunakan wayar melalui hidung dan perlu sentiasa membersihkan wayar di bahagian leher yang ditebuk," katanya.
Mohd Zaki mengakui hasil kerjanya menguruskan bengkel kimpalan di Lubok Stol, Rantau Panjang tidak seberapa dan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan isteri dan empat anaknya.
"Memandangkan isteri saya memerlukan lampin pakai buang dan susu khas, saya perlu sediakan RM600 sebulan untuk keperluannya. Ini tidak termasuk perbelanjaan anak-anak untuk ke sekolah dan yang masih kecil.
"Isteri juga memerlukan katil khas memandangkan dia tidak boleh bergerak. Sekarang kami meminjam katil dari saudara terdekat yang bersimpati dan menggunakannya untuk sementara waktu," katanya.
Mohd Zaki mengakui takdir itu terlalu berat untuk dipukulnya, namun dia perlu cekal dan kuatkan semangat dirinya agar isterinya pulih seperti sedia kala, apatah lagi anak-anak yang memerlukan ibu mereka.
Mohd Zaki kini memikul tanggungjawab sebagai bapa dan ibu kepada anak-anaknya yang menerima hakikat ibu mereka terlantar dan tidak seperti dahulu.
Bagi orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga ini, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Mohd Zaki Ismail di nombor akaun 0301641000104871.
November 21, 2017 at 02:17PM
0 Komentar