The Reporter
Sejak Selasa lalu, tular di media sosial luahan ketidakpuasan hati seorang wanita terhadap sebuah kedai makan yang didakwa mengenakan harga tidak masuk akal pada air kosong dan air suam.
Menurut pengadu yang dikenali sebagai Mawar Merah berkata, kejadian itu berlaku di Medan Selera Seri Bayu, Port Dickson yang membabitkan kedai nombor 10.
"Kalau sesiapa yang pergi ke Port Dickson, berhati-hatilah dengan satu kedai makan di Medan Selera Seri Bayu, kedai nombor 10.
"Tak payahlah meniaga (dengan cara) mencekik darah). (Kami) makan berempat, nasi campur je. Nak cepat kaya agaknya eh. Rupa-rupanya bila saya semak di web, sudah ramai yang terkena," katanya pada hantaran yang dikongsikan dalam Facebook Group Kuala Pilah.
Berdasarkan gambar 'resit' tulisan tangan yang diterima, pengadu dikehendaki membayar air kosong RM1, dan air suam RM2. Sedangkan kebiasaannya pelanggan hanya perlu membayarnya di bawah harga 50 sen atau percuma.
Sementara itu, pihak Majlis Perbadanan Port Dickson (MPPD) telah mengambil maklum mengenai hantaran tular itu dan telah mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit dengan tidak memperbaharui lesen perniagaannya.
Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, lesen peniaga terbabit telahpun berakhir pada bulan lalu dan tindakan untuk tidak memperbaharui lesen peniaga berkenaan adalah kerana pihaknya menerima aduan dan kedai itu juga sudah banyak kali ditularkan di media sosial atas aduan yang sama, serta sekali gus bagi mengelakkan perselisihan faham dengan peniaga lain yang mendakwa turut terkesan disebabkan tindakan caj makanan mahal dikenakan.
MPPD memberi tempoh kepada peniaga berkenaan sehingga Mac ini untuk mengosongkan premis tersebut.
Sumber: Facebook Mawar Merah, Sinar Harian
January 26, 2023 at 12:59AM
0 Komentar