The Reporter
Seorang lelaki berusia 48 tahun dan bekas isterinya, 52 tahun, ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana masih tinggal bersama walaupun sudah lapan tahun bercerai.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pihaknya terdahulu menerima aduan awam dari Ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) mengenai pasangan berkenaan dan segera membuat serbuan ke lokasi kejadian, Limbongan, pada jam 1 pagi, Jumaat lalu.
Pemeriksaan mendapati, kontraktor terbabit tinggal sebumbung bersama bekas isteri dan dua anak mereka (14 dan 17 tahun) tanpa merujuk semula.
Ketika disoal siasat, masing-masing mengakui enggan merujuk semula kerana sudah 'tiada hati' antara satu sama lain, tetapi masih mahu tinggal bersama seperti suami isteri.
"Bila ditanya mengapa tinggal bersama jika sudah tidak suka antara satu sama lain, mereka hanya diam sahaja.
"Hasil semakan mendapati mereka sudah mendaftar perceraian di pejabat agama, namun mengaku tidak pernah merujuk semula dalam tempoh edah dan sehingga kini. Hakikatnya mereka bukan bercerai talak tiga dan boleh rujuk semula sebagaimana disyariatkan dalam ajaran Islam.
"Pasangan itu juga memberi alasan masih tinggal sebumbung kerana kasihan dan demi kepentingan dua anak mereka," katanya.
Difahamkan, perceraian mereka juga diketahui oleh ahli keluarga dan kenalan yang sudah pernah menasihati mereka untuk bernikah semula, tetapi tidak diendahkan kerana mereka lebih selesa dengan keadaan itu.
Pasangan terbabit ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau 24 penjara atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Harian Metro
January 30, 2023 at 02:08AM
0 Komentar