'Tweet cari jodoh saya itu bukan main-main' - Nur Fatini Amira

November 15, 2022

The Reporter



Ciapan seorang perunding insurans yang mahu mencari jodoh melalui Twitter baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi netizen terutamanya golongan lelaki. 


Nur Fatini Amira, 26, tidak menyangka ciapannya itu diulang kicau lebih 1,500 kali dan dia mendapat banyak mesej peribadi dari lelaki yang menyatakan hasrat mahu berkenalan dengannya. 


Gadis muda itu bagaimana pun tidak menafikan dia turut menerima kecaman yang mendakwa dirinya terdesak untuk berkahwin. Tetapi Nur Fatini menegaskan ciapannya itu bukan main-main dan dia sememangnya serius mahu mencari jodoh melalui Twitter berbanding aplikasi lain atas sebab-sebab tertentu. 


"Ciapan saya itu bukan main-main. Bagi saya, tiada salahnya kerana selain saya, ramai lagi menggunakan platform sama untuk mencari jodoh. Malah ramai yang berjaya. 


"Saya memilih Twitter sebab di sini ramai yang terbuka, lebih berpengetahuan dan tidak menilai seseorang berbanding aplikasi lain.


"Jodoh ini macam main bola juga. Ada masa kita lari, ada masa kita berhenti, ada masa kita kena 'pass' kepada orang dan ada masa kita kena bagi gol. Jadi, cubalah banyak cara dalam mencari seseorang yang sesuai dengan kita, asalkan cara itu tidak memudaratkan kita," katanya. 


Nur Fatini mencari lelaki yang berumur 25 hingga 29 tahun, mempunyai kerjaya dan kehidupan stabil, manis dipandang serta wangi, antara kriteria yang dicari untuk menjadi calon suaminya.


Pada waktu ini, Nur Fatini cuba membalas semua mesej yang diterima dan mungkin perlu mengambil sedikit masa untuk membalas kesemua mesej itu memandangkan semuanya dalam awal fasa perkenalan. 


"Mungkin ada yang kata saya baru berusia 26 tahun dan kenapa nak kena mencari dah, kerja dulu dan cari apa yang patut, barulah jodoh akan datang. Betul, cuma saya sudah ada kerjaya yang semakin berkembang. 


"Jadi, apabila sudah mencapai sesuatu saya memasang niat untuk ada seseorang di sisi yang boleh berjaya bersama. Apabila saya bersedia untuk berkahwin, dia juga bergerak bersama saya," ujarnya. 


Sumber: Harian Metro



November 15, 2022 at 02:02PM

Previous
Next Post »
0 Komentar