2 penjawat awam terima rasuah masing-masing berjumlah RM50,000 & RM100,000 ditahan SPRM

April 26, 2022

The Reporter



Seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat lalu kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM100,000. 


Suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah agensi kerajaan dilaporkan meminta habuan RM100,000 sebagai balasan memberi projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja berkaitan sanitasi di pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, baru-baru ini. 


Siasatan SPRM turut mendapati, suspek dipercayai pernah meminta habuan lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun 2022 untuk kerja berkaitan sanitasi. Tetapi individu terbabit hanya mampu memberi RM100,000. 


Suspek bersetuju dengan jumlah tersebut dan kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang suapan itu. 


Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 selepas tempoh remannya selama empat hari berakhir pada hari ini. 


Sementara itu dalam kes berasingan, seorang pembantu tadbir di Johor Bahru ditahan SPRM Cawangan Kluang kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000. 


Suspek wanita berusia 30 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kluang pada jam 9 pagi hari ini selepas hadir memberikan keterangan. 


Menurut sumber, suspek pada tahun 2020 dan 2021 telah menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan memberikan kontrak pembekalan dan kerja penyelenggaraan di jabatan berkenaan. 


Suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. 


Sumber: Harian Metro



April 26, 2022 at 02:21PM

Previous
Next Post »
0 Komentar