The Reporter
Tular di media sosial video dashcam menunjukkan pemandu kereta pacuan empat roda membuli pengguna jalan raya dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.49 petang Jumaat lalu di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kereta pacuan empat roda dengan nombor pendaftaran PMX3383 itu dilihat sengaja membuli sebuah kenderaan lain dengan menghimpitnya.
Tindakan pemandu tidak bertanggungjawab itu hampir menyebabkan mangsa buli terbabit dalam kemalangan.
Susulan dari kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai memandu Toyota Hilux berkenaan secara berbahaya.
Suspek berusia 30-an itu ditahan di pejabat trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 11.30 pagi semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu di media sosial, netizen berharap polis mengambil tindakan tegas terhadap suspek, sekali gus menjadi pengajaran kepada pengguna jalan raya lain untuk tidak mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab itu yang dikhuatiri akan menyebabkan kemalangan maut.
Sumber: Harian Metro
March 21, 2022 at 04:23AM
0 Komentar