The Reporter
Perkembangan terkini penyanyi nasyid ditahan kerana terbabit dalam kegiatan dadah, polis mengesahkan penyanyi yang juga komposer muzik itu didapati menanam dan memproses pokok ganja di kediamannya di kondominium di Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, rumah penyanyi berusia 47 tahun itu diserbu pada jam 5.30 petang semalam dan pemeriksaan menemui 17 pokok ganja dan dadah dianggarkan bernilai RM40,700 yang boleh dibekalkan kepada 214 penagih.
"Hasil pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui 17 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja. Turut ditemui satu bekas plastik di atas kabinet dapur mengandungi dua plastik lutsinar ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram.
"Turut disita, sebuah kereta, sejumlah wang tunai, sebotol cecair pemusnah serangga, satu alat pengukur, kandungan PH air, satu alat penyukat suhu, tujuh lampu, satu alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan, satu pasport serta kad pengenalan suspek serta satu rangkai kunci," katanya.
Difahamkan, suspek mendapat bekalan ganja kering dari sekitar daerah Petaling Jaya. Suspek dipercayai menanam pokok ganja berkenaan dengan membeli benih dan belajar menanamnya melalui media sosial sejak dua bulan lalu.
Suspek mengaku pokok ganja itu ditanam untuk kegunaannya sendiri. Ujian saringan juga mendapati suspek positif ganja dan mempunyai sejarah penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Suspek direman seminggu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Harian Metro
March 25, 2022 at 02:55PM
0 Komentar