'Permohonan bantuan RM500 sudah diluluskan untuk ibu Dyana' - Selepas viral, JKM, MAIPk & NGO lain berpasak-pasak datang menghulur bantuan

February 23, 2022

The Reporter


Susulan tular video Diwiyana Mohammed, 37, yang mendakwa sukar mendapatkan bantuan untuk ibunya yang terlantar disebabkan strok dan borang dihilangkan oleh pihak berkenaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini turun padang menyampaikan berita baik kepada keluarga itu. 


Baca: (Video) 'Nak kami minta bantuan dari gereja ke, baru nak datang bagi bantuan?' - Anak kecewa, 2 tahun berusaha dapat bantuan untuk ibu OKU tetapi pihak terbabit kata borang permohonannya hilang


Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, JKM telah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada ibu Dyana, Selamah Hamid, 73, yang akan disalurkan bermula Mac depan. 


"JKM sudah memproses permohonan berkenaan dan diluluskan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan bermula Mac depan.


"Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang menjaga Selamah yang terlantar tidak bergerak serta memerlukan lampin pakai buang dan susu," katanya. 



Terdahulu kediaman keluarga Diwiyana di Parit 1A, Sungai Manik, diziarah oleh rombongan berkenaan yang dihadiri oleh Datuk Dr Wan Norashikin, Pengarah JKM Perak Nor Tipah Majin. 


Semakan data mendapati, Selamah adalah penerima bantuan bulanan JKM Wilayah Persekutuan sejak 2017 hingga April 2020. Namun setelah berpindah ke Sungai Manik, permohonan baharu dibuat dan dihantar kepada JKM Perak pada Januari 2021 dan permohonan kedua pada 28 Januari lalu. 


Permohonan pertama tidak dapat diproses kerana semakan sistem e-bantuan mendapati warga emas itu masih belum dikeluarkan dari senarai penerima bantuan JKM Wilayah Persekutuan, yang telah ditamatkan. 


Difahamkan, penerima bantuan yang berpindah ke negeri lain atau bertukar daerah akan menyebabkan bantuan ditamatkan dan perlu memohon semula. 


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari mengesahkan pihaknya ada menerima permohonan daripada suami Diwiyana pada 3 Februari tahun ini dan permohonan telah diproses dan sebagai tindakan awal, bantuan segera telah diberikan serta-merta oleh Pegawai Baitulmal Daerah Hilir Perak kepada Diwiyana sebanyak RM300 hari ini. 


Bantuan bulanan serta bantuan perubatan kepada Selamah yang terlantar sakit akan diberikan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Baitulmal Daerah Hilir Perak meluluskan permohonan itu. 


Diwiyana meluahkan rasa bersyukur ramai pihak yang datang menghulurkan bantuan selepas video yang dibuatnya itu viral di media sosial. 


"Saya berada dalam keadaan sangat terdesak dan buntu. Sebab itu saya nekad buat video demi mak kerana sudah lama kami menunggu permohonan untuk diluluskan. 


"Saya mempunyai masalah teruk dan tekanan perasaan sejak enam tahun lalu dan ikutkan doktor, saya tidak sesuai untuk menjaga mak. Tetapi saya tetap mahu menjaganya kerana adik-beradik lain juga tidak berkemampuan. 


"Lampin mak tidak boleh lambat ditukar jika dia membuang air besar. Kalau tidak, dia akan buka lampin dan bermain dengan najisnya sendiri. 


"Sebab itu saya terdesak dan buntu apabila permohonan bantuan masih belum diterima. Saya memang tiada duit, malah dua minggu lalu saya terpaksa pecah tabung duit syiling anak. Dapatlah RM16 saja. Hanya mereka yang pernah menjaga orang sakit saja tahu situasi ini," katanya.


Menurut Diwiyana, dia menumpang di rumah ibu mentua bersama suami, ibu anak dan adik suami. Manakala ibu dan bapa mentuanya tinggal di rumah berasingan. 


Selepas berpindah, Diwiyana dan suaminya yang bekerja sebagai penghantar barang, cuba berniaga burger dengan pendapatan harian hanya mampu meraih RM20 hingga RM100. 


Sumber: Harian Metro



February 23, 2022 at 01:08PM

Previous
Next Post »
0 Komentar