'Ketika kita datang, isterinya menangis sebak' - Ketua Polis Balai Kota Tinggi hulur sumbangan kepada isteri suspek kes curi beras & sekotak susu

April 05, 2021

The Reporter


Kes pecah masuk premis makanan yang dilakukan seorang lelaki warga Indonesia di Kota Tinggi, Johor pada Sabtu lalu mengundang banyak perhatian netizen susulan barangan yang dicuri oleh suspek berupakan sekampit beras 10kg dan sekotak susu. 


Polis baru-baru ini mengesahkan suspek bertindak mencuri barangan itu kerana terdesak kerana perlu menanggung keluarga memandangkan isterinya tidak dapat bekerja. Selain itu, suspek juga didapati positif dadah jenis heroin dan mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk tiga kes dadah.


Difahamkan, isteri suspek yang merupakan wanita tempatan bekerja sebagai pembantu kantin dan tidak dapat bekerja susulan sekolah tidak beroperasi. Ibu kepada tiga anak berusia dari enam bulan hingga 10 tahun itu, hanya meraih pendapatan RM30 sehari. 


Hal ini membuatkan ramai netizen berbelah bagi memberikan pandangan di media sosial memandangkan suspek mempunyai rekod jenayah. Tidak kurang juga yang mempertikaikan tindakan polis yang dikatakan tidak mengasihani anak dan isteri suspek. 


Namun di sebalik pengetahuan netizen, Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail tidaklah seperti yang disangkakan. Beliau dan anggotanya mengambil inisiatif 0mengunjungi kediaman isteri suspek dan menyerahkan sumbangan selepas mendapati keluarga itu hidup dalam keadaan susah. 


"Suspek mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Anak sulungnya bersekolah di darjah tiga. Ketika kita datang, isterinya hanya menangis sebak. 


"Keluarga ini agak susah dengan hanya bergantung pada pendapatan isteri RM30 sehari. Itu pun kalau ada kerja, baru ada gaji. 


"Memandangkan ada anak-anak kecil yang mungkin memerlukan makanan asas, jadi kita mengambil inisiatif hadir membantu meringankan sedikit beban keluarga ini melalui sumbangan barangan keperluan asas," katanya memetik laporan dari Kosmo! Online. 


Walaupun begitu, beliau menegaskan bahawa perbuatan jenayah adalah tetap salah dan desakan hidup bukanlah alasan untuk seseorang itu melakukan jenayah. 


"Kita harap, orang ramai jangan mengambil jalan mudah walau apa pun masalah yang kita hadapi. Setiap tindakan yang kita ambil akan ada kesannya," katanya lagi.


Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk berfikir dulu sebelum melakukan apa-apa tindakan yang melanggar undang-undang terutamanya kegiatan jenayah yang tidak membawa manfaat. 


Sumber: Kosmo


LAPORAN BERKAITAN



April 05, 2021 at 08:23AM

Previous
Next Post »
0 Komentar