Kes Covid-19 meningkat, MB Perak gesa rakyat berhenti tunding jari terhadap ahli politik

October 06, 2020

The Reporter

Di kala ramai yang masih menyalahkan ahli politik yang didakwa menjadi penyumbang utama peningkatan kes posifit Covid-19 di negara, Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Faizal Azumu pula meminta rakyat berhenti menunding jari terhadap ahli politik. 


Beliau berkata, penularan wabak itu umum tahu ia tidak memilih pangkat atau darjat seseorang itu. 


"Saya harap rakyat tidak terus panik kerana kita melihat di media sosial ada yang marah pada orang politik. 


"Sebenarnya virus ini tidak memilih sama ada orang itu Presiden Amerika Syarikat atau orang biasa. Bukan salah satu golongan atau orang ini dan orang itu, ia boleh menjangkiti sesiapa pun," katanya memetik laporan dari Berita Harian, Selasa (6/10/2020).


Katanya lagi, apa yang penting adalah rakyat perlu menjaga SOP  dengan menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dan menjaga kebersihan.


Dalam Perutusan Khas Situasi Covid-19 semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui kempen PRN Sabah menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu. 


Jelasnya, kerajaan tidak dapat mengelak PRN itu diadakan kerana mengikut Perlembagaan, pilihan raya itu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu. 


Muhyiddin juga berkata, SPR telah menetapkan SOP tertentu bagi memastikan wabak itu tidak merebak akibat PRN, tetapi ada SOP yang tidak dipatuhi. 


Ini dapat dilihatnya sendiri ketika turun berkempen di Sabah di mana ramai pihak yang gagal mematuhi penjarakan fizikal dan berada dalam keadaan bersesak-sesak walaupun ramai yang memakai pelitup muka. 


Sumber: Berita Harian, Bernama



October 07, 2020 at 01:48AM

Previous
Next Post »
0 Komentar