Penuntut Malaysia di Sydney, maut akibat terjatuh dari pangsapuri

August 06, 2019

The Reporter


Seorang penuntut Malaysia, Amirul Ashraff Md Azhar, 22, meninggal dunia dipercayai akibat terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya di Sydney, Australia, hari ini.

Mangsa yang berasal dari Taiping, Perak, merupakan penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Technology Of Sydney.

Bapa mangsa, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia pada jam 4 petang tadi. 

"Setakat ini saya dimaklumkan anak saya terjatuh dari pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan. 

"Sehingga kini saya menunggu maklumat lanjut dari MARA berikutan dia adalah pelajar tajaan MARA," katanya. 

Difahamkan, Amirul ada menghubungi bapanya sebelum ini yang memaklumkan dia gagal lima subjek. Disebabkan itu, dia perlu membuat rayuan kepada MARA.

Md Azhar berkata, rayuan telah dibuat tetapi dia percaya anaknya berasa tertekan. Kali terakhir dia menghubungi mangsa adalah pada 30 Julai lalu ketika hari ulang tahun kelahiran Amirul. 

"Dia tidak menceritakan masalah lain selain gagal lima subjek berkenaan.

"Dia baru seminggu menyambut ulang tahun kelahiran. Apapun, saya kini sedang menunggu maklumat lanjut daripada pegawai di sana. 

"Jenazah akan dikebumikan di Taiping selepas selesai semua urusan nanti," katanya. 

Sumber: Harian Metro


August 06, 2019 at 12:51PM

Previous
Next Post »
0 Komentar