The Reporter
Enam maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Kampung Pegoh menghala ke Tol Alor Gajah, malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, dalam satu kenyataan berkata, kemalangan berlaku kira-kira 9 malam itu membabitkan Isuzu D’max, Mitsubishi Triton dan sebuah treler tanpa muatan.
JBPM Melaka menerima panggilan 9.10 malam tadi dan 14 anggota melibatkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah beregas ke lokasi kejadian sebelum tiba kira-kira 24 minit kemudian.
Lima sekeluarga yang menaiki Isuzu D-MAX, Alissa Azahar (adik), 15, Alia Azahar (kakak), 17, Azahar Ahmad (bapa), 57, Halimahtun Aris Padzil (ibu tiri), 24, Habibah Ahmad (emak saudara), 62, maut dalam kemalangan itu, manakala Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki, Wang Chow Kuang, 51, juga maut di lokasi, sementara anak perempuannya berusia 20 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, "Sebelum kejadian, treler dan Isuzu D-Max itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Simpang Ampat, manakala Mitsubishi Triton pula dari arah bertentangan.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mitsubishi Triton terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda lima sekeluarga itu.
"Mangsa yang tersepit dibawa keluar dengan bantuan pasukan JBPM dan kesemuanya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
"Pemandu Mitsubishi Triton meninggal dunia dan anaknya yang parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain identiti mangsa masih belum dikenal pasti,” katanya.
Menurut ibu kandung kepada Alissa dan Alia, Rosziati Muktar, 36, berkata, kali terakhir dia berjumpa dua anaknya adalah dirumah emaknya di Taman Kota Panorama, Yong Peng Johor, malam semalam ketika bekas suaminya datang mengambil anak-anaknya jam 3.30 petang untuk dibawa pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Aidiladha dia tiada di rumah kerana bekerja.
Katanya, Alissa bagaikan tahu dirinya akan pergi buat selamanya dan berkali-kali bersalaman dengan ibunya ketika kali terakhir mereka berjumpa semalam.
"Kali terakhir saya berhubung dengan anak kira-kira jam 6 petang, dia menghantar gambar melalui pesanan aplikasi WhatsApp memberitahu mereka berhenti makan.
"Dan kira- kira jam 10 malam ketika pulang dari kerja saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan anak sudah tiada.
"Walaupun sukar untuk menerima khabar berita ini namun saya reda,” katanya.
Sumber: Harian Metro
August 10, 2019 at 01:20AM
0 Komentar