The Reporter
Nur Husna Arina Mohd Hafiz, 2, tidak lagi mampu bergelak ketawa dan aktif seperti kanak-kanak sebayanya selepas dikesan menghidap kanser darah sehingga menyebabkan matanya semakin besar. Dia kini hanya terlantar menahan kesakitan.
Anak bongsu dari dua beradik itu dikesan menghidap kanser tersebut seminggu selepas Aidilfitri ekoran kerap mengalami demam dan sakit kepala.
Menurut bapanya, Mohd Hafiz Mohd Yusof, 29, terdapat ketumbuhan di belakang kepala Nur Husna Arina sehingga mengakibatkan urat tertarik dan matanya semakin membesar.
"Setiap hari Nur Husna Arina akan menangis. Pada mulanya dia hanya demam biasa dan kembali sembuh. Tetapi demam datang semula lalu kami bawa dia ke Hospital Balik Pulau.
"Dia kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan menghidap kanser darah, Neuroblastoma tahap empat.
"Hati siapa tidak sedih apabila mendapat tahu penyakit anak. Dulu dia seorang yang aktif malah suaranya sentiasa memecah keheningan rumah ini. Tapi sekarang, dia terlantar menahan kesakitan. Dia boleh duduk tapi tidak lama kerana sakit," katanya.
Difahamkan, kisah mengenai kanak-kanak itu viral di media sosial selepas ibunya, Jasmin Bakar, memuat naik gambar-gambar anaknya dan meminta orang ramai mendoakan anaknya sembuh.
"Ya Allah, bantulah anakku untuk sembuh dari penyakitnya.. Sihatkanlah kembali anak syurgaku ini."
"Dia tidak boleh makan banyak, kalau makan nasi, hanya satu atau dua suap. Doktor ada memberi ubat dan antibiotik serta menambah darah.
"Kami tidak mengharap apa-apa cuma minta rakyat Malaysia berdoa semoga Nur Arina Husna cepat sembuh. Kami mahu melihat dia kembali ceria seperti kanak-kanak lain," katanya.
Nur Husna Arina akan mula menjalani kimoterapi mulai esok.
Sumber: Harian Metro
July 22, 2019 at 01:52AM
0 Komentar