The Reporter
Semenjak pelakon Fizo Omar bercerai dengan usahawan Mawar Karim pada 10 Julai lalu, banyak cakap-cakap yang timbul di media sosial termasuk mendakwa ibu kepada Fizo yang menjadi punca perceraian tersebut.
Bagaimanapun, Hasnah Jidin, 59, tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu dan menegaskan bahawa dia sentiasa menasihati fizo dan bekas menantunya supaya tidak bercerai demi masa depan anak mereka, Wan Maryam.
"Ibu mana yang mahu anak mereka bercerai? Apatah lagi mereka mempunyai anak. Saya selalu nasihatkan supaya bersabar dan jangan bercerai. Walaupun orang kata dia anak mak, tapi saya tak pernah hasut yang bukan-bukan.
"Apabila timbul cerita mengatakan saya punca perpisahan mereka, saya rasa terkilan dan sedih sangat. Bukan saya puncanya.
"Walaupun saya duduk dan tinggal bersama mereka, tapi tak pernah nak menyusahkan sesiapa. Dalam rumah tak pernah buatkan Mawar susah. Mawar pun baik orangnya.
"Semasa dia bersalin dan dalam tempoh pantang, saya yang menjaganya dan saya pun menjaga cucu. Pendek kata semuanya okey dan tak ada masalah.
"Apabila timbul isu ini, saya tak tahu nak kata apa. Bukan macam itu. Mungkin ramai yang tak tahu, sebelum Fizo berkahwin lagi kami sudah tinggal bersama. Malah, dia yang banyak menjaga saya selepas kematian suami," jelasnya.
Sementara itu, Fizo menafikan dirinya sebagai anak emak sehingga menjadi punca perceraian dengan Mawar.
"Anak emak? Bagi saya itu rezeki saya. Dengan apa yang berlaku, Allah nak bagi kekuatan untuk saya menjaga emak dan keluarga. Saya memang anak emak sebelum kahwin dengan Mawar lagi. Hubungan saya dengan emak takkan berakhir. Emak adalah syurga saya sampai bila-bila.
"Setiap hari mak berdoa untuk saya, alhamdulillah rezeki sentiasa ada. Jadi, tak salah kalau ada isteri, isteri kena faham. Kena ingat, tanggungjawab anak lelaki adalah tetap pada ibunya," katanya.
Dalam masa yang sama, Fizo kesal dengan pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan netizen sehingga menyebabkan ibunya mengalami gangguan emosi. Dia juga terkejut dengan pelbagai spekulasi yang timbul itu sedangkan proses perceraian mereka berlangsung dengan baik di mahkamah.
"Saya sebenarnya terkejut isu ini timbul. Sedangkan proses perceraian berlangsung baik dalam mahkamah, malah kami setuju berpisah cara baik.
"Saya pula tak ada masa nak baca komen netizen. Tapi apabila orang ramai terus bercakap termasuk saudara mara bertanya dan orang surau pun bertanya emak saya, emosi dia terkesan.
"Emak pun jadi tertanya-tanya apa salah mereka. Kenyataan Mawar di luar mahkamah itu sebenarnya tergantung dan saya pun masih tak faham apa maksud yang cuba disampaikan.
"Apabila emak banyak berfikir, dia tak boleh tidur. Dia ada penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.
Tegas Fizo, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada komen yang keterlaluan mengaitkan keluarganya.
"Saya tak nak disebabkan mereka, situasi makin keruh, sedangkan hubungan saya dengan Mawar baik-baik saja walaupun selepas kami bercerai," katanya.
Sumber: Harian Metro
July 19, 2019 at 02:12PM
0 Komentar