The Reporter
Tertekan dengan hidup, ditambah pula dengan tiada pekerjaan mendorong lelaki berusia 32 tahun ini untuk menikam dirinya sendiri.
Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari Rabu di Taman Delima, Sungai Petani, lelaki terbabit berbuat demikian di rumahnya tanpa disedari oleh ibunya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu.
"Polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan lelaki terbabit cuba membunuh diri sejak semalam.
"Semasa kejadian berlaku, ibu lelaki terbabit turut berada di rumah berkenaan tetapi tidak mengetahui perbuatan anaknya itu.
"Ketika polis sampai di tempat kejadian, lelaki itu dilihat sudah menikam dirinya sendiri pada tengah perut dengan menggunakan pisau sepanjang lebih kurang 12 sentimeter," katanya.
Siasatan mendapati, lelaki itu mengalami tekanan hidup disebabkan tidak mempunyai pekerjaan.
Difahamkan, mangsa sebelum ini pernah membuka kedai telefon bimbit di Pekan Lama, Sungai Petani, tetapi sudah ditutup selepas enam bulan beroperasi.
Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan dirawat di zon merah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
Sumber: Harian Metro
March 07, 2019 at 03:46AM
0 Komentar