'Jaga jer anak kau tu, tak payah sibuk hal orang' - kata si bapa selepas ditegur tinggalkan anak lama-lama di motosikal

March 11, 2019

The Reporter


Beberapa minggu yang lalu, seorang kanak-kanak nyaris dilarikan dua lelaki bermotosikal, selepas ditinggalkan bapanya di atas motosikal sementara dia masuk ke dalam kedai untuk membeli barang. 

Bagaimanapun, kanak-kanak itu terselamat selepas bapanya segera mengejar dan menghalang suspek sambil dibantu oleh orang awam yang melihat kejadian itu. Meskipun mendapat kecederaan, kejadian itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan anak di atas motosikal. 

Niat baik wanita ini menjaga seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di atas motosikal dibalas dengan kata-kata yang mengguriskan hati dari bapanya. Lelaki terbabit turut meminta dia tidak perlu sibuk dengan halnya, sebaiknya jagalah anaknya sendiri. 

AKU keluar kedai, aku ternampak budak ini beberapa meter dari kereta aku. Aku dengan Hannah terus pergi mendekati budak ini. 

"Ayah mana, dik?" soalan aku sambil mendukung dia turun dari motosikal.

"Tu haa...." dia menunjuk ke dalam KK Mart. 

Aku pun berdiri di tepi motosikal sampailah ayah dia keluar dari kedai. Aku tengok jam dari mula aku menunggu hingga ayah dia keluar ialah 4 minit 17 saat. Ayah dia pelik sebab ada orang berdiri tengok dia sambil memimpin anak dia. 

"Salam bang, saya nampak dia seorang diri. Motosikal ini tepi jalan sangat. Pastu stand pun pakai tongkat sebelah saja. Saya turunkanlah dia," ujar aku sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki yang agak berusia daripada aku, lebih kurang lewat 30-an. 

"Alaaa, sekejap jer pun. Bukannya lama. Aku beli top up jer. Tahulah aku jaga anak. Kau baru anak seorang kan? Jaga jer anak kau tu, tak payah sibuk hal orang," katanya. 

Aku dah agak, sama ada positif atau negatif tetapi hati aku tadi kuat mengatakan bahawa aku akan kena 'sound'. 

"Okey, tak apalah bang. Maaf sebab saya tolong tengokkan anak abang ni. Cuma nak beritahu, saya tunggu abang tadi empat minit juga. Sebab ramai orang beratur. Tak tahulah berapa lama masa sebelum saya nampak dia seorang dii. 

"Saya rasa zaman sekarang empat minit ini dah cukup masa untuk orang cekup anak abang dan bawa lari atau macam-macam perkara yang boleh terjadi. Assalamualaikum. Dah, jom Hannah," aku hulurkan tangan anak dia dan beredar. 

Aku harap kalau nampak kes seperti ini, tolonglah jaga anak kecil itu untuk seketika. Ibu bapa atau penjaga nak marah, lantaklah. Jangan ada sikap "itu bukan anak aku', sebab budak ini tak bersalah. Dia ada hak untuk dipertahankan keselamatan dia. 

Orang nak culik satu hal, kereta langgar satu hal, jatuh motosikal satu hal. Aku tak tahulah, mungkin aku jenis paranoid kot, sebab itu aku rasa semua kebarangkalian itu boleh berlaku sebab malang tak berbau. Kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini pada masa itulah kita baru nak menangis tak berlagu. 

Nampak kes macam ni, tolong alert dan tunggu sekejap. Ada ramai jer yang boleh menerima teguran. Abaikan kalau diorang merentan. Bukan hari-hari jumpa pun. Fikir macam itu saja, yang penting budak-budak selamat. 



March 11, 2019 at 07:15AM

Previous
Next Post »
0 Komentar