The Reporter
Harian Metro melaporkan, kejadian itu berlaku pada 17 Julai lalu di luar kawasan sebuah sekolah di pinggir Bandaraya Kota Kinabalu di mana mangsa dibelasah akibat salah faham berkenaan telefon bimbit.
"Ibu bapa mana yang tidak sedih dan marah apabila anak dipukul, ditampar, ditendang malah rambutnya ditarik serta diheret.
"Sehingga ke hari ini, saya belum boleh melihat rakaman video anak perempuan saya dibelasah, hanya dimaklumkan oleh anak,” kata Ramar Krishnan, 59, pesara tentera.
Menurut Ramar, sebelum kejadian itu, anaknya dipanggil oleh dua pelajar perempuan yang dikenali di luar kawasan sekolah dan mangsa dibelasah salah seorang pelajar terbabit.
"Ketika kejadian anak saya dipanggil dua pelajar perempuan dikenalinya. Saya dimaklumkan, setibanya di luar kawasan sekolah itu, dia dibelasah salah seorang pelajar terbabit. Kejadian dipercayai akibat salah faham berkenaan telefon bimbit, namun masalah itu sudah diselesaikan.
"Tetapi pelajar perempuan yang membelasah anak saya tidak puas hati lalu memukul, menampar, menendang malah rambut anak saya ditarik lalu diheret," katanya.
Ramar berkata, isterinya ada cuba berbincang dengan keluarga pelajar perempuan terbabit, malangnya mereka bertindak kasar.
"Saya tidak tahu apa perasaan mereka jika melihat anak kandung diperlakukan sedemikian. Sejak anak saya lahir, sekali pun saya tidak pernah naik tangan. Saya amat marah dan kesal serta sedih melihat anak diperlakukan sedemikian seperti dalam rakaman video,” katanya.
Berdasarkan klip video viral yang diperolehi oleh keluarga mangsa, rambut mangsa ditarik dan diheret di sebuah tokong berdekatan sebuah sekolah oleh pelajar perempuan terbabit. Mangsa turut ditampar dan ditumbuk beberapa kali di bahagian muka dan kepala mangsa yang tidak lagi bersekolah.
Seorang lelaki kemudian datang cuba meleraikan mereka, tetapi pelajar perempuan itu enggan berhenti dan terus menyerang mangsa sebelum datang seorang lagi orang awam membantu meleraikan pergaduhan itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Zaliha Talib, 45, berkata, selepas kejadian itu, anaknya pulang ke rumah dalam keadaan baju kotor dan menangis memberitahu dia telah dipukul oleh pelajar terbabit. Malah, mangsa mengadu sakit di bahagian kepala, mata dan mengalami kesan lebam di muka.
Zaliha kemudian membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas untuk rawatan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, mengesahkan menerima laporan dari ibu bapa mangsa dan pihaknya sedang menjalankan siasatan.
August 07, 2018 at 01:34AM
0 Komentar