The Reporter
Seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok meninggal dunia dipercayai tercekik buah rambutan ketika berjalan kaki untuk menemui ibunya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, Jitra, petang semalam, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian jam 2 petang semalam, mangsa, Muhammad Fahim Ilmi Mohd Fairuz, 7, dikatakan baru keluar dari sekolahnya dan berjalan menuju ke tempat kerja ibunya.
Menurut seorang guru yang kebetulan melalui kawasan itu berkata, mangsa secara tiba-tiba rebah dan berdasarkan maklumat dari rakan mangsa, dia dipercayai makan buah rambutan ketika berjalan.
Mangsa sebelum itu seperti cuba untuk muntah dan seakan-akan tercekik dan kemudian rebah di tepi jalan dalam keadaan separuh sedar.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa kemudian dihantar ke sebuah klinik kesihatan di Changlun dan sebelum dirujuk ke Hospital Jitra.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mengenal pasti punca kematiannya.
Sementara itu bapanya, Mohd Fairuz Zaiyadi, 37, berkata, anaknya sebelum ini tidak berapa gemar makan buah rambutan. Namun pada hari kejadian, mangsa makan sehingga meragut nyawa.
Menurut bapanya, mangsa mengambil rambutan itu dari meja guru di sekolah ibunya, sementara menunggu ibunya selesai bertugas.
"Isteri saya menghantar anak sulung kami itu ke Klinik Kesihatan Changlun dan doktor berusaha menyelamatkan anak saya termasuk memberi bantuan oksigen, namun gagal.
"Ketika itu, keadaan anak kami agak kritikal sebelum disahkan meninggal dunia di situ," katanya.
Walaupun terkejut dengan kejadian itu, namun Mohd Fairuz dan isterinya, Rosnah Illias, 36, reda dengan apa yang berlaku.
Jenazah mangsa akan dikebumikan di Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
August 06, 2018 at 03:25AM
0 Komentar