The Reporter
Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan di Virginia mati selepas bapanya terlupa menghantar dia di pusat jagaan kanak-kanak, lapor Daily Mail.
Riaan Gondesi berada di dalam kereta selama tiga jam sebelum disedari oleh ibu bapanya bahawa anak mereka tidak berada di pusat jagaan berkenaan dalam kejadian Rabu lalu.
Perkara itu hanya diketahui oleh ibunya selepas pusat jagaan berkenaan menelefon dan bertanya mengapa Riaan tidak dihantar kepada mereka.
Terkejut dengan perkara itu, wanita itu terus menghubungi suaminya yang kemudian menemui mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan masih memakai tali pinggang keledar di dalam kereta.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, malangnya sudah terlambat dan Riaan disahkan telah meninggal dunia.
Ketika kejadian itu, cuaca di Virginia mencecah suhu 32 darjah celcius. Mangsa berada di dalam kereta bapanya sejak dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan suhu di dalam kereta pada waktu itu dijangka 43 darjah celcius.
Menurut Sheriff Goochland, James L. Agnew berkata, wanita itu terus menghubungi suaminya yang kemudian berlari keluar ke kereta untuk mendapatkan anaknya.
"Berapa suhu sebenar dalam kereta itu saya tidak pasti, tetapi ianya sangat panas. Saya tidak tahu bagaimana dan kenapa ia boleh berlaku.
"Tetapi apa yang saya boleh katakan ialah, orang dewasa sepatutnya peka dengan kehadiran kanak-kanak yang dibawa bersama," katanya.
August 10, 2018 at 02:12PM
0 Komentar