The Reporter
Sidang media khas Presiden UMNO Datuk Seri Najib diadakan di PWTC sebentar tadi menyatakan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional kerana berasa bertanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
"Memandangkan UMNO dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat, maka saya sebagai presiden UMNO dan pengerusi BN mengambil keputusan untuk meletak jawatan serta-merta.
"Ini adalah kerana mengikut prinsip sesiapa yang menjadi ketua sebuah parti dan parti itu gagal dalam PRU, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang yang berkenaan. Maka saya dengan hati yang terbuka menerima prinsip tersebut sebab itulah saya mengumumkan keputusan melepaskan kedua-dua jawatan tersebut. Ini adalah sesuatu yang memang perlu dan patut saya lakukan atas prinsip tanggungjawab moral.
"Biro politik juga bersetuju supaya Yang Berhormat Datuk Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti. Ini adalah kerana tidak ada peruntukan pemangkuan dalam perlembagaan. Biro politik juga bersetuju supaya Datuk Hishamuddin Tun Hussein On menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Pengerusi BN.
"Ketiga-tiga sayap kita, Wanita, Pemuda dan Puteri memberi sokongan yang sepenuhnya kepada cadangan ini dan mereka akan beri sokongan dan kerjasama yang sepenuhnya. Saya suka menyarankan kepada semua ahli-ahli UMNO supaya memberi sokongan yang padu dan kerjasama yang seerat-eratnya, lebih-lebih lagi keyakinan dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada kepimpinan baru supaya kita dapat menghadapi segala cabaran masa kini yang serius, di samping mengambil langkah yang positif menunjukkan bahawa kita akan dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.
"Dengan ini, UMNO dan BN akan muncul kembali sebagai parti yang mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat. InshaAllah.
"Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli UMNO yang telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya sejak saya memegang jawatan presiden parti dan jawatan-jawatan lain sebelum itu.
"Saya tetap yakin bahawa jasa UMNO dan BN adalah terlalu besar kepada negara. Selama lebih dari 60 tahun memang segala kejayaan negara kita tak dapat dinafikan adalah punca daripada usaha dan perjuangan sumbangan kepimpinan UMNO dan BN. Sebab itulah kita semua rasa begitu sedih dengan apa yang berlaku. Namun sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi, kita terima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka.
"Mungkin inilah memberi kita peluang untuk perbaiki lagi apa saja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin ini banyak berkisar kepada soal persepsi daripada realiti. Tetapi itulah, the name of the game dalam politik. Maknanya siapa yang menang dalam persepsi, dia mungkin dapat sokongan rakyat.
"Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada ahli UMNO dan saya juga beri jaminan saya tidak akan meninggalkan UMNO dan saya akan terus menyokong UMNO sebab tidak ada parti yang tolok bandingannya dengan UMNO. InshaAllah UMNO akan terus hidup." katanya.
May 12, 2018 at 07:39AM
0 Komentar