The Reporter
Thread seram ini baru saja dimuat naik semalam di Twitter, reaksi dari netizen? Rata-rata bersetuju kisah seram yang dikongsikan oleh Ikmal Hanif ini agak menyeramkan dan membuatkan sesiapa yang membacanya meremang bulu roma.
Kisah yang berlaku di asrama sekolah yang tidak dinyatakan, dialami sendiri oleh Ikmal Hanif di hari pertamanya memutuskan untuk tinggal di asrama itu meskipun para pelajar yang lain kebanyakan pulang ke rumah keluarga masing-masing. Selamat membaca gais. Segala risiko ditanggung oleh korang sendiri.
KORANG pernah duduk di asrama dan sekolah seorang-seorang for the whole year? Aku pernah.
Aku menuntut di sekolah berasrama harian biasa di Kelantan. Maksudnya sekolah itu ada asrama tetapi kau boleh pilih nak stay di asrama atau tak. Ha, faham kan? Kalau tak faham, baca semula penerangan tadi sampai faham.
Aku stay rumah keluarga dari tingkatan satu hingga empat sebab rumah dekat. Tetapi pada awal tingkatan lima, keluarga aku kena pindah ke Pahang. Aku tak setuju sebab aku ada awek di sekolah. Jadi acah-acah setia nak kekal dengan awek sampai habis sekolah. Puih!
Bermacam-macam cara aku buat untuk tak bagi mereka pindah. Antaranya aku pernah patahkan jari kelingking aku dengan harapan mereka akan jaga aku dan tak jadi pindah. Bodoh macam penyapu siak aku dulu.
Tetapi malangnya diorang nak pindah juga sebab nak menjaga arwah nenek yang sakit di Pahang. Aku pun ambil keputusan duduk di asrama untuk habiskan saki baki cinta sambil tunggu SPM.
Masalahnya, asrama itu ada peraturannya iaitu setiap dua minggu pelajar dibenarkan balik ke rumah. Aku nak balik ke rumah siapa? Duit tak ada. Tumpang member? Aku ini pemalu persis pokok semalu.
Jadi nak tak nak, aku tinggal seorang diri di asrama dengan pakgad. Warden pun balik kau tau? Pakgad pun kejap ada, kejap hilang dah macam biskut pula orang tua itu.
So basically, aku bersendirian dalam satu kawasan sekolah yang kiri kanannya adalah hutan dan di depannya pula adalah lebuhraya. Di depan sikit dalam jarak 100 meter pula adalah kubur.
Ya kubur. Kalau kau duduk tingkat tiga Aspura, kau boleh nampak barisan batu nisan melalui tingkap. Macam mana siak budak-budak ini boleh tidur?
Jom bayangkan struktur asrama aku supaya tak ganggu cerita. Asrama ada dua blok dan tiga tingkat. Aspura dan aspuri. Blok ini menghadap satu sama lain dan dipisahkan dengan dewan makan. Level floor, ada bilik prep dan hujung level itu ada bilik tv. So basically bilik tv ini di belakang dewan makan.
Hari pertama duduk seorang, jam enam petang budak start lengang. Semua mak bapak dah jemput diorang pulang. Aku sekadar mengintai saja diorang balik dari beranda. Sedih siak.
Pakgad panggil aku ke bawah, aku gembira sangat sebab ingat dia nak ajak aku balik. Tetapi tak. Hawau betul!
Dia pesan, "Mandi awal, nanti kalau gelap tak elok mandi seorang. Malam ini kalau takut, tidur surau. Kalau nak tengok WWE, tidur di bilik tv."
Aku terus naik, mandi, bawa bantal busuk dan turun ke surau. Kau ingat lelaki rakus macam aku tak ada bantal busuk ke?
Usai solat Isyak, aku pergi ke pakgad di pos pengawal asrama. Aku cakap nak pergi ke bilik tv. Malam Jumaat dulu-dulu ada cerita english best. Dulu jelah, sekarang ini banyak cerita Melayu CEO kahwin bergaduh saja kerjanya.
Pakgad itu tiba-tiba pegang lengan aku. Dia pesan, "Malam ini tidur, baca doa. Jangan pandang kiri kanan. Kalau rasa tak sedap, tegur tapi sopan."
Seramnya dia ni. Tetapi budak-budak lain ada cakap yang pakgad ini geng ahli syifa. Aku anggukkan sajalah.
So, untuk pergi ke bilik tv, aku kena melalui depan bilik prep yang gelap. Dan bilik ini tingkapnya tak boleh tutup sebab dah berkarat. Jadi aku akan nampak bilik gelap gelita dipenuhi meja dan kerusi.
Masa aku nak lalu depan pintu bilik prep. Aku seperti terdengar bunyi suara lelaki tetapi halus. Dengar di hujung-hujung telinga saja.
"Nak pergi mana?" soalnya.
Aku fikir itu mungkin sekadar imaginasi aku saja. Kemudian aku meneruskan langkah. Dua tiga langkah, mata aku gatal pergi pandang dalam-dalam bilik prep, gelap. Tetapi ekor mata aku seperti ternampak sesuatu yang besar duduk di hujung bilik. Dia seperti duduk berdiri, berwarna hitam dan lebih hitam dari kegelapan bilik prep itu.
Aku tak hiraukan, aku jalan lagi. Kali ini aku perlu merentas dewan makan. Lalu dewan makan, gelap. Ada pinggan, cawan di atas sinki yang telah dibasuh.
Tiba-tiba, aku macam ternampak budak kecil duk berlari di pintu. Dia macam terlintas, warna putih dan kecil. Aku yakin itu adalah budak sebab dia pakai baju sekolah tetapi muka dia tak kelihatan. Dia macam terlintas dan ZAP!! Hilang! Tetapi aku boleh nampak bentuknya.
Aku kuatkan mental dan kata, "Imaginasi saja ni. Ini semua mainan otak saja."
Aku jalan lagi, sampai di depan bilik tv, aku pulas tombol. Buka perlahan-lahan, gelap. Petik suis, aku tengok keadaan bilik yang hapak, kotor dan kerusi berterabur. Aku susun elok-elok kerusi tempat aku nak tidur malam itu. Aku buka tv dan layan cerita Rambo di saluran TV2. Aku terlupa benda yang aku nampak.
Aku ingatkan malam itu dah selesai, tetapi sumpah malam itu jadi lagi 'best'!
Masa itu jam 12 malam, lampu telah ditutup. Nightline bersiaran di tv. Mata aku dah kuyu, budak sekolah mana yang layan Nightline kan? Jadi aku terlelap dan biarkan tv dibuka.
Sedang aku nyenyak tidur, tiba-tiba aku terjaga. Seperti tiba-tiba kau tersentak bangun. Macam jantung kau berdegup laju then DUSH! Kau bangun dari tidur!
Tengok jam di handphone Nokia 1616, jam 4 pagi. Pundi kencing duk melalak suruh lepaskan air. Untuk pengetahuan korang, untuk pergi ke toilet, kena naik level satu sebab level floor tak ada toilet. Buat gila jam 3 pagi nak naik level satu? Asrama kosong woi!
Jadi aku decide kencing di longkang belakang blok Aspura, alang-alang bilik tv memang di hujung blok. Dalam keadaan yang mamai aku bangun berbekalkan flashlight phone. Aku keluar dari bilik tv dan menuju ke belakang blok. Aku lalu depan tangga belakang Aspura yang di grill sebab situ dah jadi tempat longgokan katil rosak. Creepy doh dengan gelapnya lagi, banyak katil rosak di situ.
Kawasan belakang asrama ini hutan, penuh semak samun. Longkang pun penuh dengan rumput mati dan sampah. Aku tak fikir panjang terus melepaskan hajat.
Semasa tengah asyik membuang air, tiba-tiba aku terdengar suara perempuan memanggil-manggil. Suara halus saja, bukan sayup-sayup seperti dalam cerita hantu yang duk panggil nama 'Mayaaaa~'.
Aku cepat-cepat betulkan seluar, cepat-cepat jalan balik ke bilik tv. Masa aku lalu depan tangga grill tadi, ekor mata aku ternampak sesuatu berwarna putih duduk bertenggek di atas deretan besi katil rosak. Tetapi aku buat tak nampak, aku jalan laju menuju ke bilik tv.
Tapi aku pasti, benda yang bertenggek di atas besi katil itu duk usha aku lalu tadi dan aku pasti benda itu juga yang memanggil aku. Dia macam benda ini tiba-tiba terdetik dalam hati.
Sampai di depan bilik tv, aku buka pintu, gelap. Tv masih menyiarkan cerita ulangan Al-Kuliyah kalau tak silap. Cepat-cepat aku masuk dan tutup pintu. Aku biarkan lampu tutup. Kalau buka, lagi macam-macam aku nampak nanti. Aku baring didepan tv, selimut pula tak dibawa. Jadi aku pejam mata kuat-kuat dengan harapan dapat tidur.
Tetapi yang sialnya benda itu datang balik! Korang tahu tak, walaupun tak tutup mata kita masih boleh tengok bayang-bayang atau imbasan jika sesuatu itu lalu di depan mata kita. Tak percaya? Cuba tutup mata dan kemudian alihkan tengan korang di depan mata. See what I mean?
Aku pejam mata kuat-kuat, tiba-tiba imbasan bayang-bayang lalu di depan aku. Cahaya tv yang terang buatkan imbasan itu nampak jelas. Nak buka mata, takut. Tutup mata pun takut. Apa aku nak buat ni hawau?
Benda itu macam duk main ulang alik di depan aku! Okay, korang nak rasa apa yang aku rasa? Alright, cuba tutup mata kuat-kuat. Jangan tutup sekarang, nanti macam mana nak baca thread aku?
Tutup mata kuat-kuat, kemudian layarkan tangan korang di depan mata perlahan-lahan, nampak? Begitulah benda yang aku nampak!
Selepas 30 minit dia duk ulang alik, mulut aku macam-macam duk baca. Kau ingat jadi ke bacaan dengan keadaan tak basuh kencing macam tu?
Tiba-tiba imbasan itu hilang! Aku lega gila! Hahaha! Tetapi hati aku tetap rasa tak sedap hati. Seperti ada sesuatu dan masa itu aku perasan yang imbasan itu tak hilang tetapi dia berhenti di depan aku.
Mungkin dia tengah memandang aku atau dia keletihan? Aku tak tahu! Aku takut, kalau boleh menjerit aku nak menjerit biar sampai satu daerah boleh dengar tetapi tak boleh.
Then tiba-tiba ada bunyi azan dan imbasan itu terus hilang, ghaib! Aku tiba-tiba rasa berani nak buka mata. Alhamdulillah, kosong. Hanya tv saja duk tayang azan Subuh.
Aku terus buka pintu dan berlari sekuat hati ke surau asrama yang terletak betul-betul di pintu gate asrama lebih kurang 200 meter dari tempat aku.
Sampai di surau, aku nampak pakgad semalam duk hisap rokok di atas tangga surau. Dia panggil aku, mungkin sebab dia nampak aku lari macam kena sampuk hantu. Well, memang kena sampuk pun. Dia panggil aku, dia cakap dengan aku dalam dialek Kelantan.
"Bo lah duk kucanyo. Dio tupe tido jah. Dio duduk jauh. Nyaknyo dio mari nok ngaji. Mung kuca anok aku lagi sekali. Aku supoh ake bunuh mung dengan buluh"
Terjemahan: "Sudahlah kacau dia. Dia menumpang saja. Dia duduk jauh, kasihan dia datang nak belajar. Kau kacau anak aku lagi sekali, aku sumpah akan bunuh kau dengan buluh."
Aku terpinga-pinga, dia berborak dengan siapa? Mata pandang aku tetapi dia nak bunuh aku? Dengan buluh? Pakgad ini ahli Deep Web ke apa?
Kemudian dia beritahu yang sebenarnya ada benda mengikut aku di belakang. Dia suka aku sebab aku kotor dan malam tadi aku kasi dia minum.
Aku macam mindfcuk gila weh! Sumpah masa itu aku down gila. Baru sehari beb. Malam esoknya macam mana? Apa lagi?
Then pakgad itu pesan, "Kalau dio ganggu lagi, jange takuk. Tegur jah. Dio supo kito jugok. Kalu tegur molek, dio tak kucalah"
Terjemahan: "Kalau dia ganggu lagi, jangan takut. Tegur dia. Dia macam kita juga. Kalau tegur elok, dia tak kacaulah."
Tegur ini bukan maksudnya "Hai buat apa tu?" apa kau gila? Dia lebih kurang seperti, "Aku datang ada hajat, jangan ganggu aku. Aku tak takut kau. Aku takut Allah SWT."
Dan ye, aku amalkan apa yang dia pesan dengan harapan aku tak diganggu. Tetapi aku silap, ingatkan dah habis. Rupanya baru satu permulaan untuk aku. Bersambung...
Sumber: Ikmal Hanif
February 26, 2018 at 12:01PM
0 Komentar