The Reporter
CHINA - Seorang wanita tergamak menganiaya dua kanak-kanak di tempat kerjanya, taska Ctrip, mencetuskan kemarahan ibu bapa dan juga netizen di media sosial, lapor Shanghaiist.
Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), wanita berkenaan dilihat mencampak beg milik seorang kanak-kanak perempuan sebelum menunjal kepalanya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya terhantuk pada meja.
Ketika kejadian itu berlaku, dua orang kakitangan yang lain hanya melihat perbuatan wanita itu tanpa melakukan apa-apa.
Dalam video CCTV kedua pula, seorang kanak-kanak lelaki yang menangis disuap dengan sesuatu ke dalam mulutnya oleh wanita yang sama. Selepas disiasat, ibu bapa mangsa dimaklumkan bahawa wanita itu menyumbat wasabi ke dalam mulut anak mereka.
"Anak saya baru berusia 17 bulan dan dia sumbat setengah tiub wasabi ke dalam mulutnya. Akibatnya anak saya terberak enam kali dalam masa satu jam," kata ibu mangsa yang menangis selepas menonton semula video CCTV tersebut.
Pihak taska Ctrip kemudian mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan dan dalam kesempatan itu ibu bapa mangsa telah menyerang wanita berkenaan dan sempat memaksanya untuk menelan wasabi seperti mana yang dia lakukan pada anak-anak mangsa.
Wanita itu juga berulangkali memohon maaf kepada ibu bapa sambil melutut dan menangis. Pihak taska Ctrip kemudian mengesahkan bahawa wanita itu bukan cikgu di taska berkenaan, sebaliknya sebagai pekerja pembersihan sahaja.
Apabila ditanya mengapa pekerja pembersihan dibenarkan untuk mendisiplinkan anak-anak keicl itu, pengurus taska berkenaan, Zhang Baobao menjelaskan, kesemua kakitangan di pusat berkenaan telah diminta untuk proaktif dalam menjaga anak-anak asuhan.
Difahamkan taska itu mengasuh lebih dari 100 orang kanak-kanak yang berusia tiga tahun ke bawah.
Berikutan kejadian itu, Ctrip telah memecat wanita berkenaan dan menutup taska itu untuk sementara waktu agar pihak berkuasa dapat melakukan siasatan. Dalam masa yang sama, ibu bapa yang terpaksa menjaga anak-anak mereka di rumah diberi pampasan.
November 17, 2017 at 01:05AM
0 Komentar