The Reporter
Bapa kepada bayi yang kritikal akibat ditembak dalam kejadian di utara Philadelphia bulan lalu, telah ditahan selepas didakwa mempergunakan anaknya sebagai 'perisai' ketika cuba membeli dadah menggunakan duit palsu.
Pihak berkuasa percaya, Nafes Monroe, 25, membawa anak lelakinya berusia 11 bulan bersama dengannya ketika cuba membeli dadah itu pada 19 Oktober lalu di bandar sebelum tercetusnya kejadian tembak menembak.
Ketika kejadian, Monroe duduk bersama dengan mangsa, teman wanita dan seorang lagi lelaki lain di dalam kereta sebelum tembakkan dilepaskan pada jam 7.50 petang.
Mangsa, Yazeem Munir Jenkins, ditembak empat kali di kepala, dada dan punggung.
Ketua Unit Jenayah Pejabat Peguam Daerah, Anthony Voci berkata, itu bukan kali pertama Monroe membawa anaknya bersama untuk membeli dadah.
"Dia menggunakan duit palsu untuk membeli dadah dan perbuatannya itu menyebabkan si penjual bengang lalu tercetus perkara yang tidak diingini.
"Kami percaya dia sengaja membawa anaknya dengan harapan pengedar dadah tidak akan menembaknya," katanya.
Voci berkata, suspek ditahan pada Sabtu lalu dan didakwa kerana dengan sengaja mendatangkan bahaya kepada anaknya.
"Selepas kejadian itu, Monroe tidak membawa anaknya pergi ke hospital, sebaliknya membawa mangsa pulang ke rumah.
"Monroe kemudian menghantar mangsa ke hospital dan terus menghilang diri meninggalkan anaknya yang berada dalam keadaan kritikal," katanya.
Suspek yang melepaskan tembakan, Francisco Ortiz, 29, juga telah ditahan dan didakwa atas cubaan membunuh dan beberapa lagi pertuduhan lain.
Sumber: Daily Mail
November 14, 2019 at 02:59AM
0 Komentar