Tembak mati kucing makan ayam peliharaan, pesara polis didenda RM6,500

April 05, 2022

The Reporter

Foto hiasan


Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM6,500 terhadap seorang pesara polis yang mengaku bersalah atas tuduhan menembak mati seekor kucing memakan ayam peliharaannya. 


Pada 16 Disember 2021, tertuduh, Zainol Abidin Md Zain, 64, membuat pengakuan tidak bersalah atas dua pertuduhan ke atasnya. Namun, dia menukar pengakuannya kepada bersalah di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh membunuh kucing berkenaan dengan menembaknya menggunakan senapang patah pada jam 6.40 petang, 1 Julai 2020 dalam kejadian yang berlaku di kebunnya di Kuang. 


Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 


Pertuduhan kedua pula, warga emas berkenaan didakwa melepaskan tembakan di tempat awam tanpa sebarang sebab dan dituduh mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 43 akta sama iaitu hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azhar kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana tindakannya itu adalah tidak wajar memandangkan kucing bukanlah seekor haiwan yang berbahaya. 


Peguam tertuduh, Azman Abdullah merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana tertuduh bertindak demikian atas sebab ayam jantannya telah dimakan oleh kucing tersebut. 


"Pelbagai cara telah dilakukan bagi mengelak kucing tersebut memakan ayam tertuduh. Pada hari kejadian selepas tertuduh menembak kucing itu, tertuduh sendiri telah menanam kucing tersebut," katanya. 


Setelah mempertimbangkan hujah dan rayuan, Majistret Nik Fadli menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM1,500 atau penjara dua bulan. 


Majistert turut memerintah tertuduh dipenjara lapan bulan tambahan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan. Tertuduh bagaimanapun membayar denda tersebut. 


Sumber: Utusan Online



April 06, 2022 at 05:12AM

Previous
Next Post »
0 Komentar