The Reporter
Foto CNN |
Berita mengenai Presiden Zambia, Hakainde Hichilema tidak menerima gaji sejak memulakan tugasnya Ogos tahun lalu, menjadi tajuk utama media sosial di negara ini.
Kementerian yang bertanggungjawab membayar gaji dan elaun Presiden mendakwa beliau melepaskan gajinya demi berkhidmat untuk rakyat.
Hichilema berkata, gaji bukanlah motivasinya untuk mendapatkan jawatan, lapor Agensi Anadolu.
"Isu gaji bukanlah disebabkan kerajaan tidak mampu membayarnya," katanya kepada pemberita sebaik tiba di bandar Livingstone.
Hichilema, 59, seorang ahli ekonomi dan ahli perniagaan menjadi Presiden selepas 15 tahun menyertai pembangkang, menewaskan penyandang Edgar Lungu dengan lebih sejuta undi.
"Saya tidak peduli (gaji presiden). Matlamat dan motivasi saya adalah untuk melihat bagaimana kita boleh memperbaiki kehidupan rakyat,” tambahnya.
Sejak dipilih, Hichilema menetap di kediaman peribadinya di New Kasama, sebuah kawasan perumahan mewah di Lusaka beberapa kilometer dari Rumah Nkwazi - kediaman rasmi Presiden Zambia.
Pada 2018, kerajaan Lungu meminda undang-undang berkaitan emolumen dan elaun Presiden yang menyaksikan Presiden memperoleh K$40,653.25 (ASD2,307) gaji dan K10,784.41 (AS$612) elaun bulanan.
Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai Hichilema telah melepaskan faedah Presiden yang lain, menurut Agensi Anadolu.
Bagaimanapun, seteru politik mengaitkan kekayaannya dengan dakwaan beliau memperoleh imbuhan daripada persatuannya dengan kontroversi penswastaan aset negara pada 1990-an.
Nilai kekayaan bersih Hichilema dianggarkan mencecah jutaan dolar dan beliau sebelum ini dilaporkan memegang saham hotel tempatan dan industri pemprosesan lembu sebagai antara sumber pendapatannya.
Beliau tidak mengisytiharkan hartanya secara terbuka sebelum pilihan raya Ogos, kerana undang-undang tidak mewajibkan calon berbuat demikian.
Sumber: Bernama
April 06, 2022 at 01:05PM
0 Komentar