The Reporter
Selepas 28 tahun membesarkan anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, pasangan suami isteri di China terkejut apabila dimaklumkan bahawa bayi kandungnya yang sebenar telah tertukar secara tidak sengaja dengan bayi pasangan lain.
Kes itu menyebabkan pihak Hospital Huaihe dikenakan denda atau membayar pampasan sebanyak 760,000 yuan (RM473,553). Pihak hospital menerima keputusan itu.
Selain wang pampasan, pihak hospital juga diminta bertanggungjawab ke atas penyakit yang dihidap oleh anak kandung pasangan berkenaan.
Pampasan sebanyak 760,000 yuan itu terbahagi kepada dua iaitu, 400,000 yuan untuk ganti rugi penderitaan mental Yao Ce, yang terpisah dari ibu bapa kandungnya selama 28 tahun. Baki 360,000 yuan pula adalah kos perbelanjaan ubat Yao Ce, di man dia disahkan menghidap kanser hati pada Februari lalu.
Hospital Huaihe didakwa melakukan kesalahan dalam merawat bayi lelaki itu yang dilahirkan pada 1992 dan terdapat beberapa kejanggalan dalam pemberian vaksin hepatitis B pada ketika itu.
Peguam kepada pasangan berkenaan, Zhou Zhaocheng berkata, anak guamnya menerima keputusan mahkamah meskipun nilai pampasan yang diterima itu tidak sesuai dengan tuntutan.
Difahamkan, kes tertukar bayi itu diketahui selepas media tempatan menyiarkan laporan mengenai seorang wanita bernama Xu mendedahkan anak (Yao Ce) yang dibesarkannya sejak 28 tahun lalu bukanlah anak kandungnya.
Perkara itu terbongkar sendiri ketika dia mahu mendermakan hatinya untuk menyelamatkan Yao.
Disebabkan keadaan Yao bertambah buruk, Xu dan suaminya menggunakan khidmat media tempatan untuk mencari ibu bapa kandung Yao, dan dalam masa yang sama menunggu seseorang yang sudi mendermakan hatinya kepada Yao.
Xu kemudian pergi ke hospital di Henan di mana dia melahirkan anak pada Jun 1992. Dengan bantuan polis, Xu berjaya menemui ibu bapa kandung Yao, iaitu Guo Xikuan dan Du Xinzhi.
Malangnya, pertemuan dua keluarga itu juga mendapati pasangan Guo dan Du mempunyai anak perempuan yang mengalami gangguan jiwa. Ibu kandung Yao iaitu Du juga menderita hepatitis B dan perlu menjalani kemoterapi kerana barah hati.
Disebabkan Du adalah pengidap, maka Yao perlu mendapatkan vaksi hepatitis B dos tinggi sebaik saja dilahirkan. Walau bagaimanapun, vaksin tersebut diberi secara tidak betul kepada anak kandung Xu yang sihat.
Xu yakin Yao tidak mendapatkan vaksin sehingga menyebabkan dia menghidap barah hati pada usia yang sangat muda.
Yao dan ibu bapa kandungnya ada membuat tuntutan ganti rugi, tetapi gagal dan menyebabkan kes itu dibawa ke mahkamah yang mula mendengar kes itu pada bulan September.
Sumber: Beijing News
December 09, 2020 at 03:39AM
0 Komentar