The Reporter
Hancur berkecai hati si ibu apabila anaknya memberitahu bahawa dia telah dicabul oleh guru tuisyennya. Laporan polis telah dibuat agar lelaki itu disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang. Bagaimanapun si ibu percaya lelaki terbabit telah menukar pengakuannya di saat akhir menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan.
Sehingga kini lelaki itu masih bebas di luar sana. Keadaan ini menyebabkan ibu mangsa kecewa, tetapi masih tetap mahu berjuang mendapatkan keadilan untuk anaknya agar tiada lagi kanak-kanak lain yang menjadi mangsa kepada lelaki terbabit.
Mohon netizen baca dan hadam serta mengambil pengajaran daripada kejadian ini. Dalam masa yang sama, doakan agar urusan Azza Ahmad, anak dan keluarganya dipermudahkan dan semoga keadilan berpihak kepada mereka.
LAMA saya berfikir tentang perkara ini sama ada saya patut post atau tidak. Bukan mudah tetapi saya rasa saya patut, untuk melindungi anak-anak kita dari pemangsa. Saya minta maaf sangat-sangat tak dapat nak balas semua mesej di WhatsApp, Telegram dan Messenger sama ada dari saudara mara atau rakan-rakan. Memang saya perlukan masa untuk bertenang dan bersendirian, saya perlukan masa untuk kuatkan dan temankan satu-satunya anak perempuan saya.
So here it goes. Ramai yang bertanya apa yang berlaku pada anak saya since my late post about pedophilia. Untuk menjawab semua persoalan itu, ini jawapan saya...
Yes, anak saya salah seorang mangsa syaitan ini.
Kes ini berlaku di tempat tuisyen anak yang berdekatan dengan kawasan rumah juga. Anak perempuan saya berusia 10 tahun memberitahu saya pada malam Sabtu lalu yang cikgu tuisyennya melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya terhadap dia semasa berada dalam kelas pada petang itu.
Bermula dengan kelakuan pelik seperti menghisap lollipop, pemangsa itu memberi alasan untuk menyentuh mukanya dengan berkata, "ada taik mata, ada taik hidung" lalu mengelapnya dengan tangannya.
Kemudian anak saya rasa ada tangan yang menyentuhnya dari lutut, paha dan perutnya sebanyak 3-4 kali. Seluar dalam pun sudah dipegang tetapi kemaluan belum disentuh. Dia siap menarik kerusi anak saya dari bawah meja untuk duduk lebih dekat dengannya bagi memudahkan dia mencabul anak saya.
Mujur anak saya tahu bagaimana mahu berdepan dengan situasi seperti itu dengan berkata, "Gelilah cikgu" apabila pemangsa itu meletakkan tangannya pada perutnya dan anak saya segera menghalang agar lelaki itu tidak dapat menyentuh kemaluannya.
Habis kelas, si pemangsa ini kononnya mahu mengambil barang tetapi dia peluk dari belakang, letak lengan dia di atas bahu, sandarkan belakang anak saya pada badannya.
Apabila ditanya kenapa dia tidak menjerit dalam kelas, katanya takut. Isteri cikgu ada mengajar group belakang tetapi dia takut tiada orang yang akan percaya kata-katanya. Juga sebab cikgu ini jenis yang nampak 'beragama', dahi hitam, janggut panjang dan berkopiah. Nenek (ibu kepada cikgu berkenaan) pun ada di dapur pada ketika itu.
Bila dia cerita, dia menangis ketakutan. Dia peluk kuat, cuma mampu peluk dia istighfar saja. Anak minta maaf berkali-kali tetapi saya terangkan kepadanya bahawa itu bukan salah dia. Saya tidak menangis tetapi hati saya hancur lulur dan berkecai!
Tapi apa yang penting ialah, lelaki itu tidak menyentuh kemaluan anak saya. Dia baru nak cuba menyentuh. Mungkin dia nak melihat reaksi budak ini macam mana. Kalau minggu depan datang tuisyen lagi, mungkin dia lebih berani menyentuh lebih 'jauh' sebab dia rasa yang anak ini okey dan tidak menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.
Dipendekkan cerita, kejadian ini telah menjadi kes polis. Saya menunggu di luar sementara si pemangsa dan isterinya disoal-siasat. Tidak lama kemudian lebih kurang 5-10 minit, inspektor keluar. Dia senyum dan beritahu, "Dia mengaku,".
Lima minit kemudian, sarjan keluar dan beritahu ayat yang sama. "Dia mengaku tetapi dia nak jumpa awak.".
Alhamdulillah, lega sangat-sangat rasanya dipermudahkan kerja. Tetapi saya memang tidak mahu berjumpa dengannya kerana jijik, marah dan takut hilang pertimbangan.
IO pula kelihatan seperti sudah jatuh kasihan pada si pemangsa ini. Dia kata, "Dia ada masalah rumah tangga. Masalah dengan isteri dia. Main seminggu sekali saja, macam mana? Anak dia sakit lagi."
Tiba-tiba isteri dia keluar dari bilik dan terus duduk di sebelah menangis meminta maaf. Katanya dia tidak menyangka dua tahun anak tuisyen jadi begini. Tahun lalu si isteri yang ajar, suami dia baru ajar tiga kali tahun ini. Dia kata semua ini juga adalah salah dia sebab masalah rumah tangga, anak sulung ada sawan dan bermacam-macam lagi masalahnya.
Dia juga meminta maaf kepada anak. Memang kasihan juga melihat isterinya. Tak sampai hati dan kita ini bukanlah kejam sangat nak meletak orang berpuluh tahun dalam penjara. Tambahan dia ada dua orang anak kecil. Yang seorang berusia 3 atau 4 tahun yang mengalami sawan. Yang kedua pula masih bayi.
Sebenarnya pada masa itu memang dah 50-50. Fikir kasihankan pada anak dia saja. Saya berbincang dengan pihak yang menguruskan kes ini, dengan abah (bekas bapa mertua) dan kawan, masih tak dapat buat keputusan. Rasa kasihan.
Kemudian bekas kakak ipar call dan tanya tentang progress dan saya ceritakan kepada dia.
"Itu dia punya pasal lah. Masalah rumah tangga dia tiada kena mengena dengan kita. Siapa suruh dia buat tak fikir dulu semua itu? Akak dah penat-penat duduk sana satu hari, dengan Mia melalak-lalak, takkan nak biarkan saja?"
Yes, memang benar. Kenapa nak kena fikir tentang anak-anak dia sedangkan masa dia buat tak ada fikir tentang anak siapa yang dia melampiaskan nafsu setan itu? Lagipun memang dah penat bertapa dari tengah hari di IPD itu.
Saya letak phone dan terus berjumpa dengan IO dan kata, "Okey, proceed." sebelum saya terus balik dan tidak mahu menunggu lagi. Bimbang tukar fikiran apabila melihat isterinya menangis.
Si durjana penunggang agama ini direman selama empat hari (3+1) dan dibebaskan sementara dengan jaminan polis. Saya memang ada tulis setiap perkembangan dan buat panggilan masuk dan keluar sepanjang proses kes ini untuk memudahkan kerja. Jadi saya kongsikan di sini sikit-sikit.
20 Januari 2018
- Hari kejadian
21 Januari 2018
- Selepas menghadiri taklimat sekolah, terus berjumpa guru kelas dan ceritakan kepadanya. Minta izin pihak sekolah untuk bawa anak keluar awal untuk pergi buat laporan polis. Cerita kejadian seperti di atas itu.
23 Januari 2018
- IO menghubungi saya dalam waktu tengah hari memaklumkan si pemangas ini dalam tahanan reman selama tiga hari dan mungkin akan disambung tempoh reman tiga hari lagi sehingga kertas siasatan siap. Dia akan menghubungi saya lagi untuk perkembangan kes.
28 Januari 2018
- Tiada perkembangan. Sudah lima hari sejak panggilan terakhir yang memaklumkan tempoh reman itu.
- Anak pula MC seminggu sejak kes itu. Tiba-tiba anak demam, mungkin terkejut dan takut sangat sehingga mengalami mimpiburuk dan menangis setiap hari selain mood upside down yang kadang-kadang okey, marah dan menangis.
- Saya menghubungi IO bertanya tentang kes ini dan IO kata dia akan menghubungi saya esok.
29 Januari 2018
- IO menghubungi saya dan memaklumkan:
- Kes ini positif
- Kes telah diserahkan kepada DPP dan keputusan dalam masa seminggu.
4 Februari 2018
- Minta tolong orang kuat Permai Hospital Edd Rashid, nak bawa naak berjumpa dengan Pakar Psikologi/Kaunseling di sana. Jadi selepas anak balik sekolah, terus pergi ke hospital tetapi tidak dapat berjumpa dengan doktor, MEreka arahkan untuk buat pemeriksaan dulu di HSA, kemudian minta surat rujukan ke Permai.
14 Februari 2018
- Selepas lunch, pergi ke HSA dengan kawan baik saya Faliq Raja Adam. Dia yang tekankan untuk suruh cepatkan proses. Tak nak biarkan si pemangsa itu senang-senang dan bebas.
- Daftar di bahagian kecemasan, dapat Star Case yang mana tidak perlu menunggu giliran bernombor. Terus dipanggil masuk dalam bilik private dan berjumpa dengan doktor.
- Doktor suruh jumpa kaunseling di HSA.
- Selepas cerita pada kaunselor, dia beri tiga pilihan. Pertama berjumpa dengan Pakar Psikologi di HSA, tetapi dia tidak galakkan kerana HSA tidak hanya fokus pada kanak-kanak, dia campur dengan orang dewasa. Jadi masa menunggu mungkin lebih lama. Kedua berjumpa dengan Child Psychiatrist di Permai Hospital. Mereka ada doktor pakar khas untuk kanak-kanak. Ketiga, kaunseling di JKM.
- Obviously memang pilih Child Psychiatrist.
- Selepas selesai urusan di HSA, terus menghubungi IO untuk tanya perkembangan lanjut sebab sudah dua minggu memandangkan tempoh hari dia kata DPP akan beri keputusan dalam seminggu sahaja. Jawapan IO, kes DPP belum bagi polis semula. Memang biasanya akan mengambil masa yang lama sebab kes kanak-kanak ini bukan DPP biasa yang uruskan. Tetapi kena review dengan Timbalan atau Pengarah DPP itu sendiri.
- Minta tolong Ein lagi untuk tetapkan temujanji dengan Child Psychiatrist di Permai. Jadi temujanji ditetapkan pada tarikh 22 Februari dengan Doktor Farah.
15 Februari 2018
- IO menghubungi saya dan memaklumkan sudah mendapat keputusan dari DPP. Dia suruh datang ke IPD esok untuk berbincang.
16 Februari 2018
- IO menghubungi saya dan meminta saya datang pada waktu malam. Dia perlu pergi ke Muar sebab ada kes atau nak bincang dalam phone. Jadi saya buat keputusan untuk bincang dalam phone.
- Dia bacakan keputusan dari DPP yang mengatakan kes ini ditutup sementara sebab tiada bukti kukuh, tiada saksi. Kemudian ada isteri, ibu si pemangsa dan juga ada kawan-kawan anak yang tuisyen sekali.
- Lebih kurang maksud dia seperti takkan tiada seorang pun yang nampak si pemangsa ini mencabul anak saya dan alasan dia beri dia cuma pegang atas paha anak. Kononnya untuk dekatkan dan mahu mesra dengan pelajar. Padahal dia sudah masukkan tangan dalam baju!
- Dua alasan yang paling bijak pernah dengar seumur hidup. Takkanlah si pemangsa itu naif sangat nak cabul bagi orang lain nampak, kan tak masuk akal.
- Menangis dan sedih juga bila rasa tidak dapat memperjuangkan hak untuk satu-satunya anak saya. Tak dapat nak menjadi hero dia, tak dapat nak membela nasib dia dan bermacam-macam rasa yang ada.
22 Februari 2018
- Temujanji jam 8 pagi tetapi Doktor Farah tiada, ada hal di luar. Jadi doktor yang lain ambil alih. Selepas setengah jam interveiw, doktor sahkan yang anak ini PTSD (post traumatic stress disorder) dan ada simptom distresss. Dia menghubungi Doktor Farah dan berbincang. Doktor Farah cadang untuk mulakan rawatan untuk membantu mengurangkan stress dia. Tetapi saya mahu menunggu sehingga temujanji yang seterusnya. Saya mahu melihat progress dia dulu macam mana sehingga temujanji yang seterusnya pada 6 Mac nanti.
- Malam itu saya menghubungi IO lagi dan beritahu dia tentang perkembangan anak. Dia kata kes sudah ditutup dan DPP sudah beritahu begitu memang susah dan bla.. bla.. bla. Dia kata dia akna tanya pegawai atasnya atau nak berjumpa dengan pegawai dia sendiri. Jadi saya bersetuju untuk berjumpa dengan pegawai atasannya. IO akan menghubungi saya semula pada Ahad (25 Februari) untuk beri tarikh.
1 Mac 2018
- Iaitu hari ini, sampai ke waktu ini tiada sebarang panggilan yang diterima.
Kes sudah lebih sebulan. Kalau begini, memang para pencabul bebas di Malaysia ini. Pencabul ditutup kesalahan dan dibela. Bagi saja alasan ada masalah rumah tangga, isteri tidak cukup beri nafkah batin, anak sakit dan kemudian dibebaskan.
Anak saya memang menangis setiap hari, selalu beritahu yang dia stress. Baju dan selipar yang dia pakai semasa pergi ke tuisyen itu pun dia tidak mahu pakai lagi. Apa-apa yang berkaitan dengan hari kejadian dia ingat dan memang mengganggu fokusnya.
Contohnya meja tuisyen, pen, malah dengan cikgu lelaki di sekolah pun dia paranoid. Atok dia pegang pun dia dah takut dan beri alasan dia geli dan ada banyak lagi kejadian yang dilalui anak saya. Nak tulis semua pun tak larat.
Dia tidak boleh bersendirian, dia akan menangis dan selalu kata dia tidak kuat nak menghadapi semua ini. Dia kena berkawan, bila ada kawan dia akan rasa okey sikit. Kalau lambat sangat, saya ingat nak rujuk perkara ini pada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Saya sendiri ada buat kajian tentang kes ini. Cari dan baca banyak topik mengenai hal ini dan saya kongsikan sikit tentang akta kanak-kanak yang saya dapat di KPWKM.
UNDANG-UNDANG KESALAHAN-KESALAHAN SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK 2017.
Bahagian IV (m/s 11-12)
KESALAHAN-KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN AMANG SEKSUAL
Amang seksual fizikal atas kanak-kanak
15. Mana-mana orang yang, bagi maksud seksual—
(a) menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak;
(b) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang itu atau bahagian badan mana-mana orang lain;
(c) membuatkan seseorang kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak itu sendiri; atau
(d) melakukan apa-apa perbuatan lain yang melibatkan kontak fizikal dengan seseorang kanak-kanak tanpa persetubuhan, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat.
Huraian—Perbuatan menyentuh boleh melibatkan perbuatan menyentuh dengan menggunakan mana-mana bahagian badan atau dengan suatu objek dan boleh dilakukan melalui apa-apa termasuk apa-apa yang dipakai oleh orang yang menyentuh atau kanak-kanak yang disentuh.
Bahagian V (m/s 13-14)
ORANG YANG MEMPUNYAI PERHUBUNGAN AMANAH
Orang yang mempunyai perhubungan amanah
17. (1) Jika seseorang yang melakukan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kesalahan di bawah Jadual terhadap seseorang kanak-kanak, mempunyai perhubungan amanah dengan kanak-kanak itu, orang itu hendaklah, sebagai tambahan kepada hukuman yang dia boleh dikenakan bagi kesalahan itu, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada dua sebatan.
(2) Dalam seksyen ini, seseorang dikatakan mempunyai perhubungan amanah dengan seseorang kanak-kanak jika kanakkanak itu berada di bawah pemeliharaan, pengawasan atau kuasanya, termasuk tetapi tidak terhad kepada—
(a) ibu atau bapa, penjaga atau seseorang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah seibu sebapa atau pertalian darah seibu atau sebapa, atau melalui perkahwinan atau pengangkatan, termasuk pengangkatan de facto;
(b) seseorang yang mengasuh seorang kanak-kanak atau lebih bagi balasan berharga bagi apa-apa tempoh masa;
(c) guru, pensyarah atau warden sesuatu tadika, sekolah, institusi pengajian tinggi awam atau institusi pengajian tinggi swasta;
(d) mana-mana orang yang menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan di kemudahan jagaan kesihatan Kerajaan atau kemudahan jagaan kesihatan swasta sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586];
(e) jurulatih; dan
(f) pekhidmat awam dengan apa jua pangkat dalam menjalankan kewajipannya di bawah mana-mana undang-undang bertulis berkenaan dengan kanak-kanak.
Bahagian VI (m/s 14-15)
KEBOLEHPERCAYAAN DAN KETERANGAN SAKSI KANAK-KANAK
Anggapan kebolehpercayaan saksi kanak-kanak
18. Walau apa pun apa-apa yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis, dalam apa-apa prosiding terhadap mana-mana orang yang berhubungan dengan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, atau mana-mana kesalahan di bawah Jadual jika mangsa ialah kanak-kanak, seseorang kanak-kanak dianggap kompeten untuk memberikan keterangan melainkan jika mahkamah berpendapat selainnya.
Keterangan saksi kanak-kanak
19. (1) Walau apa pun apa-apa yang berlawanan dalam undang-undang bertulis, dalam apa-apa prosiding terhadap mana-mana orang yang berhubungan dengan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, atau mana-mana kesalahan di bawah Jadual jika mangsa ialah kanak-kanak, mahkamah boleh membenarkan keterangan tanpa sokongan seseorang kanak-kanak, yang diberikan dengan sumpah atau selainnya, diterima.
(2) Mahkamah, sebelum membenarkan keterangan tanpa sokongan kanak-kanak diterima di bawah subseksyen (1), hendaklah menentukan bahawa kanak-kanak itu memiliki kecerdasan yang mencukupi dan memahami kewajipan untuk bercakap benar.
Jadi, keterangan anak memang boleh diambil kira. Ada akta untuk melindungi kanak-kanak dan akta ini diperbaharui tahun lalu. Kalau mereka ambil jalan mudah dengan menutup kes ini dengan alasan-alasan yang tidak boleh diterima akal sedangkan si pencabul ini terus bebas dan menjalani kehidupan seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku, ini sememangnya tidak adil.
Mangsa pula yang mengalami tekanan dan yang paling takut sekali simptom distress itu sudah ada. Memang kena berjaga-jaga dan perlu selalu bersama dengannya.
Mungkin kes ini dianggap kes kecil sebab belum lagi pegang, buka atau seluk atau memasukkan jari/sesuatu ke dalam alat sulit, itu yang mereka anggap perkara ini tiada apa-apa yang serius. Nak tunggu budak itu kena rogol baru nak ambil tindakan? masa itu memang sudah tiada gunanya.
Malas nak cakap banyak, padahal memang sudah banyak cakap pun kan. Tetapi sebagai seorang ibu dan superhero kepada anak saya ini, saya tidak akan biarkan kes ini didiamkan saja dan si pemangsa ini bebas menjalani kehidupan dia seperti biasa. Takkan berlaku!
Mungkin si pemangsa ini sudah memutar-belitkan kenyataannya pada saat akhir dari pengakuan asal. Jadi tak boleh nak salahkan pihak polis dan DPP juga. Mereka ada undang-undang dan tidak boleh memaksa atau pukul tertuduh untuk mendapatkan rekod pengakuan. Dari mengaku buat kepada 'hanya pegang atas paha", jadi pihak berkuasa tidak dapat nak berbuat apa-apa.
Terima kasih banyak-banyak kepada kawan-kawan yang banyak membantu, Edd Rashid, Faliq Raja Adam, Fatima Al Ahmad, Rayqal Irena, Yana Iana, cikgu kelas anak saya dan PKHEM sekolah, keluarga bekas suami dan sesiapa yang terlibat. Terima kasih banyak-banyak!
Dan kepada ibu bapa di luar sana, tolong ajar anak anda tentang bahagian sulit di badan mereka, apa yang betul dan sebaliknya, siapa yang boleh menyentuh mereka dan siapa yang tidak boleh. Yang boleh memegang mereka hanya ibu bapa sahaja. Itu pun bergantung pada situasi.
Ingatkan anak-anak cara untuk melindungi diri mereka. Didik mereka bagaimana mahu menangani situasi seperti itu dan apa yang perlu dilakukan jika kejadian itu berlaku kepada mereka.
Kepada keluarga dan rakan-rakan, kalau jumpa anak saya tolong jangan tanya perkara yang sudah terjadi pada dia. Tolong. Saya tidak mahu dia teringat perkara ini. Ia mungkin boleh menjadi lebih teruk. Dia kecil lagi nak menghadap perkara seperti ini, tetapi harapnya dia kuat. Saya tengah gigih membantu dia melupakan memori negatif dia ini. Doakan anak saya.
Mommy will fight for you sayang!
Sumber: Azza Ahmad
March 01, 2018 at 03:38PM
0 Komentar