'Saya harap awak menyesal' - Suri rumah curi barang pasar raya (RM1,244.50) dipenjara 5 hari, denda RM1,000

February 28, 2018

The Reporter


Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima hari dan denda RM1,000 terhadap seorang suri rumah yang didapati bersalah kerana mencuri pelbagai barangan di pasar raya Tesco, hujung tahun lalu, lapor Bernama. 

Majistret Nurshahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Aishah Abdullah, 29, mengaku bersalah di atas pertuduhan mencuri barang-barang tersebut dan memerintahkan hukuman penjara itu dibermula dari tarikh wanita itu ditangkap pada 13 Disember lalu. Jika gagal membayar denda, Aishah akan dipenjara sebulan. 

Mengikut pertuduhan, Aishah telah mencuri 35 pasang baju dan seluar kanak-kanak pelbagai jenama, dua buah beg sekolah dan dua botol minuman di pasar raya Tesco Puchong yang jumlah keseluruhannya bernilai RM1,244.50 pada jam 2.30 petang, 13 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, Majistret Nurshahira menasihatkan Aishah agar tidak mengulangi lagi perbuatannya dan berharap hukuman yang dijatuhkan terhadapnya itu dijadikan sebagai pengajaran.

"Saya harap awak menyesal atas perbuatan awak, awak sebagai ibu sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan bekerja dan mencari rezeki yang halal," kata Majistret Nurshahirah kepada Aishah yang dilihat menangis.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin sebelum itu memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan jenayah seperti itu. 

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Datin Raj Preet Kaur memohon anak guamnya diberikan hukuman ringan atas alasan wanita itu mempunyai empat orang anak berusia antara 4 hingga 12 tahun dan ketika melakukan perbuatan itu, tertuduh berada dalam keadaan tertekan. 


March 01, 2018 at 01:56AM

Previous
Next Post »
0 Komentar